Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSeremban – Festival Caklempong 2024 yang berlangsung baru-baru ini di GEMBOX Nilai, Negeri Sembilan menampilkan pelbagai acara seni dan budaya untuk dinikmati oleh masyarakat tempatan dan para pelancong.
Menurut Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), antara aktiviti menarik yang dilaksanakan bersempena dengan festival tersebut ialah Pertandingan Caklempong Kreatif, Pertandingan Caklempong Solo, Pertandingan Pa’Chik Formasi Berirama, Pertandingan Ratu Telepuk, Pertandingan Tarian Rampaian Seri Sembilan, Battle of the Buskers, Peraduan Mewarna Kanak-Kanak, Pertandingan Busana Kitar Semula, Hot Air Balloon dan banyak lagi.
“Festival Caklempong 2024 merupakan platform utama dalam mempromosi dan mempertingkatkan kesedaran, pengetahuan masyarakat terhadap kepentingan seni budaya dalam kehidupan serta dapat meningkatkan kefahaman dan apresiasi seni masyarakat ke arah pembentukan sebuah bangsa Malaysia yang bersatu padu,” kata JKKN dalam satu kenyataan.
Katanya, JKKN memperluaskan skop pelaksanaan program dan tidak hanya memfokuskan kepada caklempong sahaja malah melibatkan pelbagai kesenian dan kebudayaan merangkumi makanan tradisi, persembahan pentas, kraf tangan serta memberikan pendedahan dan peluang kepada penggiat seni peringkat negeri untuk menyertai acara persembahan dan pertandingan yang dianjurkan.
Tambahnya, program ini juga berperanan sebagai pusat rujukan dalam menghasilkan karya kreatif, inovatif, berkualiti dan berprestij.
“Festival Caklempong 2024 turut menyediakan peluang dan ruang berkarya kepada semua pemain industri daripada setiap peringkat yang dapat dilihat melalui persembahan gabungan dan juga pelibatan peserta dalam pertandingan-pertandingan yang melibatkan pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta serta penggiat seni khususnya dalam bidang caklempong,” jelasnya.
Tambah beliau lagi, program ini juga akan menjadi satu asas mendekatkan khalayak seni budaya dengan pemimpin setempat dalam menjayakan falsafah Malaysia MADANI yang diinspirasikan oleh kerajaan perpaduan.
Menurut JKKN, tambah menarik ialah Festival Caklempong ini membawakan Nismilan Fiesta Food yang menyajikan makanan-makanan Negeri Sembilan dan juga makanan tular.
Selain itu, katanya, Telepuk Pound Fitness, Program Buang Sampah Dapat Duit, Jualan Rahmah Madani dan juga BMAX Championship (TAMIYA) juga antara yang menarik dalam festival ini.
Pada sebelah malam, berlangsung acara kemuncak, iaitu Konsert Caklempong Extravaganza berkonsepkan Orkestra Caklempong yang membawakan 50 orang pemuzik caklempong untuk membuat persembahan.
Persembahan ini dibahagikan kepada empat segmen yang berdurasi 1 jam 30 minit, iaitu segmen Irama Malaysia, tarian kreatif, kontemporari dan segmen Nusantara.
Katanya, konsert ini turut dimeriahkan oleh artis jemputan terkenal, iaitu Datuk Zainal Abidin, Baby Shima, Suki Low dan Northern Anthem.
JKKN berharap Festival Caklempong 2024 ini berjaya menarik jumlah pelancong domestik mahupun antarabangsa selain mengangkat kesenian setempat di Negeri Sembilan sebagai satu daripada destinasi utama pelancongan di negara ini.
Festival ini merupakan anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sembilan dan Majlis Kebudayaan Negeri Sembilan, majlis perasmiannya telah disempurnakan oleh Tunku Besar Tampin, Yang Teramat Mulia Tunku Syed Razman Ibni Almarhum Tunku Syed Idrus Al-Qadri.