Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTanjung Malim – Sedang berlangsung, Program Lenggang Budaya @ Secangkir Kopi 2024 anjuran Pusat Kebudayaan Universiti Pendidikan Sultan Idris, UPSI Holdings Sdn. Bhd. dan Sarang Art Hub. Acara ini berlangsung selama enam minggu, dari 14 September hingga 19 Oktober 2024, bertujuan untuk menyemarakkan kembali nilai budaya dalam kalangan komuniti melalui pelbagai aktiviti kebudayaan yang mempesonakan.
Pelbagai aktiviti yang ditawarkan termasuklah tarian, dendangan lagu rakyat, persembahan silat, bicara seni serta pertandingan bertemakan kebudayaan Malaysia.
Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan untuk mengekalkan warisan kebudayaan negara, tetapi juga memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat. Melalui pelibatan aktif komuniti, program ini berfungsi sebagai platform untuk mencungkil bakat serta menanamkan rasa cinta terhadap budaya dalam jiwa setiap peserta.
Program ini juga dapat mengasah bakat komuniti melalui penganjuran pelbagai pertandingan kebudayaan yang secara tidak langsung mengeratkan hubungan antara penduduk. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja memperindah suasana tetapi juga menciptakan ikatan perpaduan yang lebih utuh dalam kalangan masyarakat.

Selaras dengan matlamat Pelan Pembangunan Mampan Malaysia (SDG), program ini menyokong pendidikan berkualiti dengan merangsang kreativiti dan pemikiran kritis dalam kalangan komuniti. Program ini juga menonjolkan nilai estetika budaya dan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan mengekalkan warisan budaya setempat. Dengan pelibatan aktif, program ini turut menciptakan bandar dan komuniti yang mampan di Tanjung Malim, serta suasana inklusif yang merangkul pelbagai lapisan masyarakat.
Kerjasama yang erat antara pihak penganjur dengan komuniti setempat merupakan kunci kejayaan program ini. Aktiviti kebudayaan yang diatur bertujuan untuk menyuburkan semula nilai-nilai yang kian dilupakan, sekali gus memberikan ruang kepada masyarakat untuk mengenali dan menghayati warisan yang dimiliki.
Sepanjang program berlangsung, pengunjung berpeluang menyaksikan pelbagai persembahan yang mempamerkan keindahan dan kekayaan warisan budaya negara. Pertandingan yang diadakan merangkumi pelbagai aspek kebudayaan, menjadikan setiap detik dalam program ini satu pengalaman yang tidak mungkin dilupakan.