Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pementasan teater Di Sebalik Topeng ialah karya seni yang mengangkat tema kesihatan mental dan penebusan diri merupakan satu refleksi tentang cabaran kehidupan yang sering dihadapi oleh banyak individu dalam masyarakat.
Demikian menurut ikon seni tanah air yang tidak asing lagi dalam industri hiburan Malaysia, Puan Fauziah Dato’ Ahmad Daud.
Teater ini adalah terbitan syarikat milik beliau, Ogy Ventures & Network Sdn. Bhd. dan diarahkan oleh pengarah berbakat, Zainorhisyam Samudin yang terkenal dengan karya-karya dramatik yang menyentuh hati dan memberikan impak mendalam kepada penonton.
Pementasan ini akan diadakan pada 19 Oktober dan 20 Oktober 2024, jam 8.30 malam, di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Menara DBP. Teater ini dibawakan ke pentas teater dengan kerjasama DBP serta mendapat sokongan daripada geran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
“Teater ini bukan sekadar hiburan, tetapi satu wadah untuk kita merenung diri dan memahami erti kekuatan dalam menghadapi ujian hidup”.
“Setiap watak yang dipersembahkan dalam karya Di Sebalik Topeng melambangkan topeng-topeng yang kita pakai untuk menyembunyikan perasaan dan luka yang kita alami,” ujar Puan Fauziah yang juga mesra disapa Ogy.
Teater Di Sebalik Topeng ini bakal membawa penonton menyelami kisah seorang wanita yang bergelut dengan masalah kesihatan mental, yang mendapati dirinya terperangkap dalam konflik emosi yang mendalam.
Melalui sesi terapi kumpulan, wanita ini tidak bersendirian, tetapi ditemani oleh beberapa individu lain yang juga cuba melepaskan diri daripada trauma dan beban hidup masing-masing.
Teater ini menggunakan latar belakang sesi terapi sebagai medan untuk menyingkap kisah setiap watak yang penuh dengan rahsia. Dalam terapi tersebut, topeng-topeng yang dipakai oleh setiap individu mulai tertanggal, mendedahkan perasaan dan pengalaman yang telah lama terpendam.
Penonton akan menyaksikan bagaimana watak-watak ini berusaha untuk menghadapi kebenaran hidup dan mengakui kesilapan yang telah mereka lakukan.
Tema kesihatan mental yang diketengahkan dalam pementasan ini adalah isu yang amat relevan pada masa kini. Kesihatan mental sering kali dianggap tabu, tetapi melalui karya Di Sebalik Topeng, penonton akan diingatkan tentang pentingnya untuk mencari bantuan dan memahami bahawa kesakitan emosi adalah sebahagian daripada kehidupan yang perlu diatasi, bukan disembunyikan.

“Saya ingin penonton merasakan bahawa mereka tidak bersendirian dalam apa yang mereka hadapi. Setiap daripada kita, pada satu ketika, memakai topeng untuk melindungi diri. Tetapi dalam mencari kedamaian, kita perlu belajar untuk membuka topeng itu dan menerima diri kita yang sebenar,” jelas Puan Fauziah.
Dalam pada itu, pengarahnya Zainorhisyam turut menyatakan bahawa dia teruja untuk bekerja dalam projek ini kerana karya ini menawarkan dimensi baharu dalam penceritaan teater tempatan.
“Ini adalah satu pementasan yang menghiburkan dan mendidik. Melalui watak-watak yang kelihatan rapuh, kita dapat melihat kekuatan yang luar biasa dalam diri setiap individu untuk bangkit daripada kegelapan,” ujar Zainorhisyam.
Pementasan teater ini juga menampilkan lakonan Puan Fauziah serta bantuan beberapa pelakon lain seperti Rayden Ahmad, Luqman Muqri, Leesha MK, Nor Azila, Gibran Agi dan Ard Omar.
Tidak hanya memberikan persembahan mantap, malah gabungan elemen-elemen dramatik, konflik emosi, serta penyampaian lakonan yang penuh perasaan menjanjikan pengalaman teater yang tidak mudah dilupakan.
Penonton akan dibawa masuk ke dalam dunia watak-watak yang terjebak dalam masa lalu, cuba melepaskan diri dari belenggu yang menyakitkan, dan mencari jalan menuju penebusan.
Tiket untuk menyaksikan teater Di Sebalik Topeng kini dijual pada harga RM54, RM104, dan RM154 dan boleh didapati melalui www.iLassoTickets.com.
Yang turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Timbalan Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, DBP, Encik Sharrul Rizal Hashim dan tenaga produksi yang terlibat.