Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangIpoh – Program Ekspresi Muzik Jalanan mewarnai kemeriahan Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2024 yang dilaksanakan di Pusat Konvensyen Ipoh.
Kumpulan Melodic Buskers yang mempertaruhkan lagu Sungai yang Menangis dan Sekadar di Pinggiran muncul sebagai juara Pertandingan Ekspresi Muzik Jalanan. Gaya persembahan dan gubahan muzik yang menarik merupakan faktor utama yang melayakkan Melodic Buskers pulang tersenyum dengan hadiah wang tunai berjumlah RM5000.
Sementara itu, kumpulan Back Door Project yang mendendangkan lagu Apokalips dan Kemuliaan memenangi tempat kedua manakala kumpulan 6J mendapat tempat ketiga. Tujuh kumpulan yang lain tidak pulang dengan tangan kosong apabila masing-masing menerima hadiah sagu hati.
Dalam perkembangan yang sama, kumpulan The Ghostnote dipilih untuk menerima Hadiah Khas Juri, manakala kumpulan Atma Bukers yang membawakan lagu Pisau menerima Hadiah Lagu Terbaik dan lagu Bahasa Jiwa Bangsa oleh kumpulan Dakwah Band pula dipilih untuk menerima Hadiah Lirik Terbaik.
Pertandingan Ekspresi Muzik Jalanan merupakan pertandingan lagu puisi bersumberkan bahan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ataupun karya asli oleh pengkarya. Pertandingan kali ini merupakan projek kerjasama antara DBP dengan PORT Ipoh.
Yang turut hadir memeriahkan pertandingan tersebut ialah Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Tuan Haji Mohd Salahuddin bin Dato’ Paduka Mohamed; Pengurus Besar PORT Ipoh, Puan Nur Hanim binti Dato Mohamed Kchairuddin dan Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP, Puan Roziah Md Yunus.