7 Oktober 2024, 02:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ipoh – Terima kasih, Ipoh.

Terima kasih kerana sudi menjadi saksi dan destinasi kepada perjuangan panjang Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

DBP terus tekal mengorak langkah berperanan sebagai agensi utama dalam usaha pemartabatan dan pemerkasaan bahasa kebangsaan.

Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2024 (BBK 2024) yang disempurnakan perasmiannya oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada pagi semalam merupakan antara bukti inisiatif berterusan oleh DBP dalam melunaskan tanggungjawabnya terhadap agenda pembinaan negara bangsa.

Sokongan jitu Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim terhadap usaha pemartabatan bahasa kebangsaan harus didakap kemas oleh semua pihak untuk melonjakkannya ke tahap yang lebih gemilang.

Kemeriahan jelas terpancar dengan pelbagai program bersempena dengan majlis yang dijayakan di Pusat Konvensyen Ipoh. Aktiviti seperti Langkahan Bahasa Jiwa Bangsa, Program Didik Hibur dan Seronoknya Membaca, Majalah Dalam Kelas, Forum Sayangi Bahasa, Sayangi Negara, Ekspresi Muzik Jalanan, Eksplorasi Bahasa, pameran dan jualan buku bukan sahaja sebagai pelengkap majlis tetapi merupakan usaha DBP untuk mendekati masyarakat pelbagai bangsa demi menyampaikan mesej kebertanggungjawaban bersama semua pihak untuk memartabatkan bahasa kebangsaan.

Peserta daripada pelbagai kaum menyertai program Explorasi Bahasa.

Pelajar peringkat sekolah rendah, sekolah menengah dan juga dari institut perguruan sekitar Ipoh adalah antara golongan sasaran utama yang dilibatkan dalam aktiviti tersebut.

Antara manuskrip yang ditampilkan dalam Pameran Dekad Bahasa Kebangsaan.

Selain itu, DBP menerusi Pusat Dokumentasi Melayu menampilkan Pameran Dekad Bahasa Kebangsaan. Pameran ini merakamkan gerakan dan usaha DBP dalam pemartabatan bahasa kebangsaan. Antara pempamer lain yang turut terlibat termasuklah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak, Universiti Sultan Azlan Shah, Institut Darul Ridzuan, Tourism Perak Management Berhad, Yayasan Perak dan Jabatan Bantuan Guaman.

Akademi DBP yang menawarkan kursus yang berkaitan dengan bahasa, sastera dan penerbitan; Bahagian Pengeluaran dan Penyelarasan Penerbitan DBP yang menjadi urus setia kepada Dana Penggerak Industri Buku Negara; dan Bahagian Perkamusan DBP yang bertanggungjawab menerbitkan kamus untuk rujukan pelbagai pihak turut membantu memberikan penerangan tentang perkhidmatan mereka kepada khalayak yang berkunjung sempena sambutan BBK 2024.

Peserta cilik dalam pertandingan mewarna anjuran DBP.

DBP juga sentiasa berusaha menawarkan pelbagai bahan bacaan berkualiti terbitannya seperti majalah, buku, bahan rujukan dan novel menerusi jualan secara dalam talian atau jualan menerusi reruai DBP. Sempena program tersebut, Bahagian Pemasaran dan Pengedaran DBP turut membuka jualan produk terbitan DBP kepada khalayak. Usaha ini adalah untuk menggalakkan minat dan budaya membaca dalam kalangan masyarakat.

Ketua Editor Bahagian Majalah, DBP, YBrs. Dr. Rosmani Omar (kanan) memberikan penerangan tentang portal JendelaDBP kepada Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan yang dilaksanakan merupakan usaha untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan dan kecintaan masyarakat terhadap bahasa kebangsaan terutamanya dalam kalangan pelajar. Golongan ini merupakan golongan yang mudah dibentuk dan ditanam dengan kesedaran bahawa bahasa ialah jiwa bangsa yang dapat menyatukan rakyat Malaysia agar dapat hidup secara bersama dalam sebuah negara yang maju dan harmoni.

Kakitangan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak di reruai kelolaan mereka.

Usaha murni ini haruslah diterima dengan hati terbuka oleh semua pihak apatah lagi apabila Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim sendiri sering kali menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi beliau dalam hal yang berkaitan dengan pemartabatan bahasa kebangsaan di tanah air tercinta ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.