Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMelaka – Pertandingan Melaka Explorace 2024 bukan sahaja memberikan peluang kepada peserta mengetahui nilai sejarah malah dapat memberikan ilmu dan pengetahuan mengenai aspek budaya yang terdapat di negeri Melaka.
Ketua Menteri YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pertandingan yang berkonsepkan pencarian harta karun itu memberikan peluang kepada lebih 300 peserta menerokai sejarah dan khazanah budaya yang terpelihara di negeri ini sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka.
Menurutnya, dengan membabitkan penjelajahan di tiga daerah yang terdapat di negeri ini, pertandingan itu juga turut menerapkan elemen pendidikan sekali gus mempromosikan tarikan pelancongan yang ada.
“Banyak khazanah bernilai tinggi yang boleh diterokai oleh para peserta sepanjang program ini dan kita berharap akan mendapat hasil yang baik daripada kebijaksanaan peserta.

“Kita juga berharap program ini menjadi satu daripada cara untuk mengembalikan semula kegemilangan Melaka,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Flag Off Melaka Explorace 2024 di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan.
Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri, Datuk Rais Yasin dan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.
Melaka Explorace 2024 yang julung-julung kali diadakan merupakan anjuran Kerajaan Negeri Melaka dengan kerjasama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), bersempena dengan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
Program berkenaan menawarkan hadiah wang tunai RM10,000 bagi tempat pertama untuk kategori Terbuka, manakala RM5,000 bagi juara kategori Media dan Agensi Kerajaan Negeri Melaka/Bernama.
Bertemakan “Mana Lagi, Melaka Ler!”, Melaka Explorace 2024 membawa peserta menerokai keindahan dan keunikan bumi Melaka yang kaya dengan sejarah serta warisan budaya dengan semua pasukan perlu menjelajahi ketiga-tiga daerah dalam negeri ini, iaitu Melaka Tengah, Alor Gajah, dan Jasin selain dikehendaki menyempurnakan misi menggunakan kenderaan, beca dan bot Melaka River Cruise.
Peserta juga perlu memuat naik gambar dan video menarik di media sosial sepanjang Melaka Explorace 2024 berlangsung, sebagai nilai tambah untuk membolehkan mereka memenangi pertandingan tersebut.