Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKlebang – Hasil olahan memang tidak serupa dengan yang asli atau asal. Perkara ini tidak aneh, dan tidak menghairankan juga jika mereka yang menggemari karya asal, kecewa dengan persembahan hasil olahan.
Teater Muzikal Puteri Hang Li Po (TMPHLP) yang berlangsung di Encore Melaka pada 3 Oktober hingga 6 Oktober lalu, ialah karya asal Allahyarham Rahimidin Zahari, yang telah diolah oleh Encik Nik Muhamad Faiszulikwan Mohamad dari Istana Budaya (IB).
Bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-25 IB, dan 50 Tahun Hubungan Diplomatik Malaysia dengan Republik Rakyat China, IB mementaskan semula TMPHLP sebagai hadiah mega, dan teristimewa untuk pencinta seni tanah air yang sentiasa menyokongnya sejak tahun 1999.
Encore Melaka dinobatkan sebagai “Gelanggang Persembahan Seni dan Budaya Terbaik” semasa Anugerah Industri Pelancongan (TIA) 2024. Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya atau MOTAC memberikan kepercayaan kepada IB untuk menggalas “projek besar”, serta “menandakan keraian” bagi sambutan tersebut, menerusi gerbang kesenian dan kebudayaan.
Menurut YBrs. Puan Zubaidah Mukhtar, Ketua Pengarah IB, tugasan tersebut digalas dengan penuh tanggungjawab, serta membuktikan kepakaran tenaga kreatif IB yang mampu menghasilkan persembahan berskala cemerlang dan bertaraf antarabangsa.
Sebanyak 262 orang tenaga produksi dari Sektor Operasi dan Sektor Artistik, serta gabungan tiga produk utama IB, iaitu Orkestra Tradisional Malaysia (OTM), Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) dan Artis Tari Istana Budaya (ARTISTANA) terlibat.
Selepas 20 tahun, TMPHLP dipentaskan kembali dengan penambahbaikan, yang menitikberatkan hasil kualiti optimum, mengambil kira plot, barisan pelakon, lagu, kostum, sinografi, serta teknologi pentas. Watak pencerita digugurkan, tetapi digantikan dengan dialog tambahan kepada pelakon, dan lagu dalam persembahan yang ditambah untuk memantapkan plot, serta impak dalam pembinaan watak, dan emosi tanpa mengubah struktur asal.
Kehebatan barisan pelakon juga ditonjolkan dengan nyanyian secara langsung di sepanjang persembahan. Lontaran vokal serta penghayatan emosi mereka meruntun jiwa, dan meninggalkan kesan kepada penonton, selain turut diwarnai koreografi tarian yang lebih segar dan bertenaga dari babak ke babak.
Penghasilan rekaan kostum persembahan bagi menggantikan kostum lama adalah antara faktor istimewa persembahan TMPHLP 2024. Hampir 100 set rekaan kostum baharu direka, dan 264 kostum berjaya dihasilkan bagi keperluan persembahan.
Pereka kostum dari Sektor Artistik IB mengambil masa hampir tiga bulan untuk melaksanakan proses pembuatan yang melibatkan proses kajian, rekaan, perolehan, pencarian bahan mentah dan proses jahitan kostum.
Antara cabaran terbesar yang dihadapi pereka kostum, Sarina Azizan, adalah pembuatan kostum zaman Dinasti Ming, abad ke-15. Setiap rekaan dan olahan memerlukan kajian terperinci mengikut latar belakang masyarakat pada zaman itu, meliputi corak, warna kain dan sejarah bahan yang tidak diperoleh di Malaysia. Kostum ini hak cipta sepenuhnya milik IB, dan turut dilengkapi aksesori yang dipakai, bagi melengkapkan kostum sesuatu watak.
TMPHLP 2024 juga istimewa kerana para pelakon bertutur dalam bahasa Mandarin, dan bahasa Melayu (BM). Penggunaan bahasa Melayu bagi watak bangsa Cina turut diselitkan, kerana bahasa Melayu pernah menjadi Lingua Franca, apabila setiap pedagang yang datang dari luar kota Melaka perlu fasih menuturkannya sebagai bahasa perantaraan. Penggunaan bahasa rasmi istana yang telah jarang didengari juga ditampilkan.
Selain menggunakan teknologi canggih di Encore Melaka, iaitu platform penonton berputar 360 darjah, kekuatan pementasan turut dibantu oleh idea tenaga kreatif IB dengan membawa teknologi mapping bagi menambahkan unsur kekaguman dalam plotnya.
Rekaan dan binaan set kapal pelayaran dalam babak pelayaran Tun Perpatih Putih, lakonan Hairi Safwan dengan skala sebenar memberikan unsur kekaguman. Pelakon turut merasai kehebatan berlakon dengan penggunaan sistem “terbang” pentas bagi menambahkan nilai artistik dalam persembahan. Kesimpulannya, gabungan tradisi dan inovasi dalam persembahan TMPHLP ini meninggalkan kesan magis yang memukau.
Selain 32 buah lagu baharu, TMPHLP mengekalkan dua buah lagu ciptaan Allahyarham Pak Ngah, iaitu Walau Badai dan Orang Melaka Merewang.
Antara lagu baharu sebagai tambahan nyanyian dalam lakonan, tarian dan melodi iringan itu termasuklah Cinta Rahsia Li Po, Instrumental Panji, Maharaja, Instrumental Kaligrafi, Semangat Ming You, Selancang Jarum, Instrumental Tari Inang Istana, Pelayaran Tun Perpatih Putih, Tanah Besar China, Sepilu Sagu, Sayur Kangkung, Seloka Bersenda, Titah Memaksa, Melaka Terbilang, Kain Sarong, dan Dua Dunia.
Kesemuanya dimainkan secara langsung dengan gabungan 60 orang pemuzik OTM, OSK pimpinan Encik Mohd. Yazid Zakaria, selaku Pengarah Muzik/Konduktor. Dua pemuzik dari Beijing, China yang bermain er hu dan pipa, turut diundang memantapkan persembahan.
Saya yang menonton pementasan pertama pada 22-26 April 2004 di Panggung Sari IB, arahan Allahyarham Dr. Rosminah Tahir, tidak dapat memberikan perbandingan yang adil, kerana selain karya asal telah diolah, tempoh 20 tahun banyak menghakis ingatan saya.
Difahamkan para pelakon, kecuali Datin Louisa Chong sebagai Kembang Cina, tidak lagi sama. Namun demikian, pementasan yang bukan hanya sekadar hiburan, tetapi memberi pendidikan secara tidak langsung tentang sejarah hubungan Tanah Besar China dengan Melaka ini tetap menghiburkan.
Melihat ayat “sebuah kisah tersembunyi mengenai Melaka” pada keratan tiket, mungkin benar telahan saya bahawa olahan yang dibuat adalah untuk menjadikan TMPHLP sebuah epik cinta tiga segi (bukan bertaraf biasa) golongan atasan.
Penonton didedahkan bahawa Li Po bercinta secara rahsia dengan Laksamana Ming You, lakonan Brian Chan, yang membuatkan beliau keberatan mengahwini Sultan Mansur.
Itu ditambah dengan babak pertarungan di pasar apabila Li Po diganggu beberapa orang samseng, yang kemudian diselamatkan oleh Sultan Mansur yang menyamar sebagai pemuda biasa.
Mata bertentang mata antara Li Po dengan Sultan Mansur ketika kejadian itu telah mencetuskan cinta pandang pertama mereka. Li Po akhirnya meninggalkan Ming You yang telah pun mengalah kerana taat setia kepada Maharaja Cina (Jeffrey Chew), dan negara. Li Po juga berasa perlu mematuhi ayahandanya, dan setia kepada negara.
Tolak kelupaan saya dan kekecewaan penonton TMPHLP 2004, yang paling saya sukai pada TMPHLP 2024 ialah persembahan OTM, OSK dan ARTISTANA. Persembahan tersebut begitu mengagumkan dan berfungsi sebagai antara tunjang pementasan sesebuah muzikal. Mereka yang menggemari teater muzikal, apatah lagi dengan kemantapan muziknya, berbaloi menonton TMPHLP.
Persembahan hebat para pemuzik OTM dan OSK, serta ARTISTANA dibantu pula oleh vokal Dewi Liana Seriestha sebagai Puteri Hang Li Po, seorang penyanyi profesional.
Anak kelahiran Kuching ini ialah selebriti serba boleh yang menguasai bidang nyanyian, lakonan, peragaan, dan penulisan lirik lagu. Beliau merupakan wanita Malaysia pertama memenangi gelaran Miss World Talent 2014 di London.
Peminat Luqman Hafidz yang memegang watak Sultan Melaka (Sultan Mansur Syah) juga dapat melihat beliau menyanyi dan bersilat. Luqman boleh menyanyi biarpun tidak cemerlang. Menurutnya, beliau mengambil masa dua bulan untuk berlatih menyanyi secara langsung dengan bantuan Dewi.
Turut menjayakan TMPHLP yang menjadi bukti kerjasama baik melalui medium kesenian dan kebudayaan ini ialah pelakon terkenal Amyza Aznan sebagai Mak Inang, Saiful Ghaz (Perdana Menteri Di Po), Muniri (Maharani Cina), Rudy De Lunar Jr (Pembesar 1), Khalid Mohamad Nor (Biduanda), Abdul Mutalif Abu Bakar (Bendahara), Hanipah Hairi (Inang 1) dan Azewani Mohd Noor (Inang 2).
Selama empat hari, TMPHLP arahan Adzwaidi Zaini ditampilkan dalam lima pementasan pada 3 Oktober hingga 5 Oktober 2024, jam 8.30 malam, serta pementasan petang pada 5 Oktober dan 6 Oktober 2024, jam 2.30 petang.