Muhammad Haziq bin Noor Affandi .
Diterbitkan pada 15 Oktober 2024, 12:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kaki Bukit, Perlis – Projek Pemulihan Kampung Denai Warisan Kelian Fasa 2 sedang giat dijalankan yang bakal menghubungkan semula dua kampung terutara di Semenanjung Malaysia, iaitu Kampung Wang Kelian dan Pekan Kaki Bukit.

Denai ini merupakan lokasi ekopelancongan yang kaya dengan nilai sejarah dan unik dengan kepelbagaian biologi  dan bentuk rupa bumi geografi yang mewujudkan aset ekopelancongan untuk negeri dan masyarakat.

Projek baik pulih ini dijalankan dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Jane Goodall’s Roots & Shoots, The Habitat Foundation, Perlis Nature Xplorer (PNX) dan Komuniti Kaki Bukit serta dana daripada Kementerian Kewangan Malaysia.

Keberangkatan tiba DYTM Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putera Jamalullail diiringi oleh sama DYTM Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan disambut oleh Timbalan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perlis, Fadhilah Mohamad dan wakil The Habitat Foundation, merangkap penyelaras Program Sustainable Tourism Network Malaysia, Justine Vaz.

DYTM Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putera Jamallulail bertitah bahawa negeri Perlis akan mendapat lonjakan imej dalam sektor pelancongan  apabila E&O Express, iaitu sebuah perkhidmatan kereta api  mewah “Essential Malaysia Journey” yang bertolak dari Stesen Woodland dan akan mula singgah di Stesen Bukit Keteri di Perlis mulai November ini.

Pada kesempatan yang sama, DYTM Tuanku Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putera Jamallulail berterima kasih kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Jabatan Perhutanan, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan Dan Saliran, Syarikat Air Perlis serta Tentera Darat Malaysia kerana mengambil tindakan pantas meninjau struktur laluan dengan jarak empat meter yang telah runtuh sejak beberapa tahun lalu akibat pergerakan tanah yang berpunca daripada aliran air sungai yang melimpah.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi