Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Karnival Cuti-Cuti Malaysia 2024 (KCCM 2024) menawarkan peluang kepada pelancong untuk merancang percutian sambil menikmati pengalaman secara langsung dalam aktiviti seni, kraf tangan, dan warisan budaya tempatan.
Menurut Tourism Malaysia, karnival bertemakan Crafting Holidays ini merupakan acara julung-julung kali yang diperkenalkan melalui kerjasama strategik antara Tourism Malaysia dengan Kraftangan Malaysia.
“KCCM 2024 bakal berlangsung dari 25 Oktober hingga 27 Oktober 2024 di Kompleks Kraf, Jalan Conlay, Kuala Lumpur dan majlis pra pelancarannya telah berlangsung pada 8 Oktober lalu dengan menawarkan lebih 100 pakej pelancongan dengan tawaran diskaun menarik antara 15 peratus hingga 50 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.
Tourism Malaysia berkata, antara pakej pelancongan menarik dalam negara yang ditawarkan, merangkumi destinasi alam semula jadi, pengalaman budaya dan aktiviti pengembaraan.
Tambahnya, pengunjung juga boleh menikmati tawaran percutian yang meliputi destinasi popular di seluruh Malaysia serta aktiviti unik seperti jelajah warisan, sukan air, selam skuba, birding, stargazing dan pengembaraan alam.
Katanya, majlis pra pelancaran KCCM 2024 turut menggabungkan pameran, jualan pakej percutian, produk kraf tangan, serta demonstrasi budaya dan masakan.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Khairul Firdaus Akbar Khan dalam kenyataan sama berkata, penganjuran acara KCCM 2024 bertujuan merancakkan lagi aktiviti pelancongan domestik menerusi penjualan pakej pelancongan secara terus kepada pengguna selain menggalakkan rakyat Malaysia untuk merancang percutian di dalam negara.
“Pada masa yang sama, kita mahu membantu meningkatkan ekonomi penggiat industri tempatan menerusi pelibatan lebih 100 wakil industri yang terdiri daripada jabatan pelancongan negeri, agensi pelancongan, pemilik produk pelancongan, hotel, taman tema serta pengusaha kraf tangan,” katanya.
Tambahnya, karnival ini juga akan menyumbang kepada peningkatan kunjungan orang ramai ke Kompleks Kraf.
Menurut Tourism Malaysia, satu daripada tarikan utama di KCCM 2024 ialah Pasar Saloma, iaitu sebuah platform niaga untuk usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang mengetengahkan konsep perkampungan Melayu klasik.
Katanya, Pasar Saloma akan hadir dengan tema nostalgia, lebih daripada 30 reruai akan menampilkan peniaga berbusana tradisi sambil menawarkan pelbagai jualan seperti juadah tradisional, dan produk unik yang digemari sejak turun-temurun.
“Selain menikmati tawaran menarik dari Pasar Saloma, acara ini turut dimeriahkan dengan persembahan artis, tarian kebudayaan, demonstrasi kraf tangan, pertunjukan roti canai terbang, serta cabutan bertuah,” maklumnya.
Tambahnya, pengunjung juga berpeluang menyertai pelbagai aktiviti interaktif seperti permainan tradisional dan aktiviti hiburan lain menjadikan karnival ini destinasi ideal untuk seisi keluarga sambil merancang percutian domestik.
Selain itu, katanya, KCCM 2024 turut disertai oleh pelbagai jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) seperti Jabatan Warisan Negara (JWN), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Istana Budaya, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan, Kraftangan Malaysia, Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, serta Hotel Seri Malaysia.
Tourism Malaysia berkata, untuk memastikan keselesaan para pengunjung, perkhidmatan shuttle juga disediakan dengan laluan dari tempat letak kereta Malaysia Design Development Centre (DDEC) dan Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) terus ke Kompleks Kraf.
“Pengunjung juga boleh memanfaatkan kemudahan pengangkutan awam, termasuk MRT yang berhenti di Stesen Jalan Conlay, serta Bas KL Hop-On Hop-Off (KL HOHO) yang turut berhenti di hadapan Kompleks Kraf,” jelasnya.
Katanya, mendepani Tahun Melawat Malaysia 2026, Tourism Malaysia akan memperhebat usaha promosi dan pemasaran pelancongan domestik untuk merancakkan lagi aktiviti pelancongan, dengan sasaran mencapai 220 juta pelawat domestik pada tahun 2024.
Tambahnya, usaha ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan pertumbuhan sektor pelancongan yang mampan dan menyumbang kepada ekonomi negara.