Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBukit Jalil – Tidak hanya memenuhi selera penonton sekali gus peminat setia, konsert Dato’ M.N45ir: Cipta 2 yang berlangsung di Axiata Arena pada 12 Oktober lalu turut menampilkan kejutan.
Penyanyi legenda hidup negara, Dato’ M. Nasir mengejutkan semua penonton apabila menggugurkan wang kertas RM1 berjumlah RM10,000 dari bumbung Axiata Arena!
Peristiwa tersebut berlaku ketika beliau mendendangkan Satu Hari di Hari Raya sebelum mengakhiri konsert Dato’ M.N45ir: Cipta 2, anjuran ICON Entertainment (ICON) itu.
Iman Tang, pengasas ICON memberitahu Satu Hari di Hari Raya dipilih sebagai penutup konsert kerana karya tersebut telah menjadi semacam lagu kebangsaan yang tidak hanya dinyanyikan pada Hari Raya Aidilfitri, dan Hari Raya Aidiladha.
Pemilihan lagu yang diterbitkan pada tahun 1980 itu sendiri merupakan satu kejutan, apatah lagi pemberian wang tunai walaupun RM1, yang turut mencipta rekod. Sama ada itu hadiah, atau ada yang berpendapat itu pemberian semula semacam diskaun, seingat saya belum ada lagi penganjur konsert melakukan sedemikian kepada penonton!
“Pihak saya menyediakan 10,000 keping sampul duit raya, yang setiap satunya berisi wang kertas baharu bernilai RM1. Satu Hari di Hari Raya telah menjadi seperti lagu kebangsaan yang saya fikir perlu dinyanyikan walaupun kita tidak berada pada Hari Raya. Tiada salahnya,” jelas Iman.
Tambah beliau, nota pada sampul itu juga mengingatkan bahawa wang RM1 yang diberikan besar nilainya pada 45 tahun lalu. Empat puluh lima tahun itu merujuk pada usia pengkaryaan M. Nasir dalam bidang muzik (sejak tahun 1979).
Sementara itu, Nasir menyambut baik usaha ICON dan menganggapnya sebagai peluang keemasan untuk berkongsi rezeki kepada para penonton.
“Walaupun selalunya saya tidak menganggap hal ini serius, tetapi tetap mempunyai makna yang mendalam daripada segi persembahan. Perkara tersebut juga menunjukkan sikap pemurah dan nilai kemanusiaan penganjur walaupun hanya RM1,” jelas beliau.
Dalam hal pemilihan Satu Hari di Hari Raya itu, Nasir, 67 tahun, memberitahu beliau mahu menghadiahkan lagu tersebut kepada mereka yang berada di negara-negara sedang bergolak.
“Memang saya mahu sesuaikan lagu tersebut dalam konsert yang bukan pada Hari Raya. Istilah “Hari Raya” yang selalu kita gunakan pun sebenarnya untuk menggambarkan kegembiraan, dan kemenangan. Jadi, saya mahu menyanyikannya untuk mereka yang terkesan oleh peperangan dan penindasan,” jelas Nasir.
Untuk konsert Dato’ M.N45ir: Cipta 2, Nasir menyanyikan 32 buah lagu ciptaan beliau dalam pelbagai genre muzik di hadapan 6,000 orang penonton.
Antara selebriti tempatan yang turut hadir memberikan sokongan termasuklah kumpulan Wings dan Spider, Lah Ahmad, Datuk Fauziah Nawi, Farah Ahmad, Azhan Rani, Akim Ahmad, dan Stacy.
Para pemuzik yang dipimpin oleh Aznan Alias sebagai Pengarah Muzik/pemain gitar 1, serta penonton tampil berpakaian denim biru, dan warna putih sebagai tema busana konsert tersebut.
Sebelum itu, walaupun banyak yang mengetahui pemain gitar terkenal, Kid akan turut tampil, tetapi hal tersebut hanya satu kepastian setelah pemuzik tersebut benar-benar menjelma dengan gitarnya dari bawah pentas, disambut oleh Nasir, dan tepukan gemuruh penonton.
Kid dijemput oleh Nasir sendiri kerana beliau mahukan kesan semasa yang lebih membekas di hati penonton dengan petikan gitarnya, sewaktu beliau menyanyikan lagu Fantasia Bulan Madu dan Isabella, nyanyian asal Search, serta Tiara (Kris).
Tidak lama kemudian, muncul pula detik-detik mengharukan apabila wajah ibu para penonton konsert dipaparkan satu-persatu pada skrin latar belakang pentas semasa Nasir menyanyikan lagu Bonda.
Sebelum menyanyi, Nasir mendedahkan bahawa itu ialah cadangan penganjur agar penonton mengirimkan gambar wajah ibu mereka beberapa hari menjelang konsert. Beliau juga meminta para penonton agar menunjukkan dan menyebut ibu masing-masing sebaik sahaja wajah terpapar.
Menurut Nasir lagi, penganjur membuat permintaan tersebut sebagai antara usaha untuk menghargai segala jasa, dan pengorbanan wanita bergelar ibu.
Lagu-lagu lain yang dinyanyikan oleh Nasir termasuklah Pawana (Search), Hukum Karma (Wings), Rajawali Terbang Tinggi dan Kias Fansuri (M. Nasir), Senyumlah Kuala Lumpur dan Andainya Aku Pergi Dulu (Alleycats), Malam (Kembara), Juwita – Citra Terindah (M. Nasir), Cinta Dewa Dewi (Spider), Duit/Gerhana (Kembara), Peronda Jaket Biru (Wings), Lagu Jiwa Lagu Cinta (Mawi/M. Nasir), dan Srikandi Cintaku (Bloodshed).
Seterusnya Awan Nano (Hafiz Suip), Melawan Arus, Bila Rumi Menari, Apokalips, Mentera Semerah Padi, dan Aduhai Kasih Aduhai (M. Nasir), Mencurah Janji di Daun Keladi dan Keroncong untuk Ana (Kembara), Kenangan Lalu (Flybaits), Hati Emas (Kembara), serta Sentuhan Listrikmu, Mustika, Sahabat Gua, dan Ada (M. Nasir).
Para pemuzik lain ialah Firdaus Mahmud (Pembantu Pengarah Muzik/kibod 1), Rafi Mohd. (Skor Muzik/gitar 2), Norman Abdullah (bass), Eddie Slam (kibod 2), Ujang Exists (dram), Pa’ang Zaman perkusi [Latin]); Awe, Mat Din, Che Long, Anas Makwan, dan Mat Rock (perkusi [tradisional]), dan Mohar (seruling 1).
Seterusnya Boy Gambus (seruling 2/gambus); Ikhman Orkestra Simfoni Kebangsaan (trumpet), Hanif Orkestra RTM (trombon), Aizat MBMB (seksofon [tenor]), Farid Universiti Malaya (seksofon [alto]), serta penyanyi latar terdiri daripada Yuaz, Eja, Widy, Juanita dan Awe.
Disifatkan sebagai versi tambahan Cipta, konsert Dato’ M.N45ir: Cipta 2 pada 12 Oktober itu menjadi hari perayaan seniman bersama-sama para peminat yang sekali lagi menghangatkan Axiata Arena. Konsert tersebut merupakan kesinambungan konsert Dato’ M.N45ir: Cipta di tempat yang sama pada 10 Ogos lalu.
ICON berbesar hati membawa Nasir yang tiada dua ini kembali selepas mengambil kira semua maklum balas daripada pemerhati seni, peminat tegarnya, atau peminat muzik yang mengikuti perkembangan konsert Dato’ M.N45ir: Cipta.