Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMelaka – Bermula 16 Oktober hingga 30 Oktober ini, kawasan Little India di Jalan Bendahara, di sini, akan lebih meriah apabila menjadi lokasi tumpuan penganut agama Hindu yang akan membuat persiapan bersempena dengan sambutan Pesta Cahaya.
Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam berkata, kesibukan dan kemeriahan yang bakal berlangsung itu berikutan penganjuran Bazar dan Pesta Deepavali yang akan bermula 16 Oktober yang membabitkan kira-kira 50 peniaga.
Menurut Datuk VP Shanmugam, menerusi Bazar dan Pesta Deepavali itu, pengunjung yang datang berpeluang mendapatkan pelbagai kelengkapan seperti pakaian, makanan dan alat tradisi menyambut perayaan.
“Sambutan di bazar kali ini lebih meriah dan menarik dengan pelaksanaan pelbagai aktiviti termasuklah demonstrasi membuat muruku, biskut serta kuih tradisional masyarakat India.
“Lebih menarik, tiada penutupan jalan seperti tahun lalu berikutan pelaksanaan program Zon Bebas Kenderaan yang diadakan setiap minggu sekali gus menarik ribuan pengunjung kerana turut membabitkan hujung minggu.
“Kami menyasarkan kehadiran pengunjung akan lebih banyak, iaitu sekitar 30,000 hingga 40,000 pengunjung sepanjang penganjuran program ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pertama Pelaksanaan Bazar dan Pesta Deepavali.
Menurut Datuk VP Shanmugam, kemeriahan bazar tersebut akan dipertingkat pada 10 malam terakhir dengan konsert dan persembahan artis tempatan.
“Tahun ini kita bawa sedikit kelainan daripada segi aktiviti dan lebih menarik lagi kita turut membawakan Zubir Khan untuk membuat persembahan dan dijangka bakal mencuri tumpuan ramai.
“Kita berharap orang ramai tanpa mengira bangsa bersama-sama memeriahkan Bazar dan Pesta Deepavali ini nanti,” katanya.