Diterbitkan pada 16 Oktober 2024, 09:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Melaka – Buat pertama kalinya negeri Melaka dipilih menjadi tuan rumah acara peringkat antarabangsa, iaitu Mesyuarat Menteri-Menteri Kebudayaan dan Kesenian ASEAN (AMCA) Ke-11yang akan berlangsung dari 21 Oktober hingga 26 Oktober ini.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata mesyuarat anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu akan membabitkan 10 menteri, 10 pegawai kanan kebudayaan dan kesenian ASEAN serta tiga rakan dialog dari Jepun, Korea Selatan dan China.

Menurutnya juga, mesyuarat AMCA edisi ke-11 itu merupakan antara kombinasi acara utama yang dijadualkan berlangsung selama seminggu menerusi penganjuran International Culture & Arts Festival (ICAF) @ Sungai Melaka 2024 yang akan diadakan pada 21 Oktober hingga 27 Oktober di Dataran Pengkalan Rama.

“Untuk program ini dijangka sebanyak 400 orang termasuklah delegasi mewakili Malaysia akan berkampung di Melaka selama enam hari.

“Lebih menarik lagi, pada 24 Oktober depan di Dataran Pengkalan Rama akan berlangsung Makan Malam Gala AMCA dan ASEAN Festival of Arts (AFA) yang membabitkan lebih 150 artis kebudayaan dari negara-negara anggota ASEAN,” katanya pada sidang media ICAF 2024 di Kota Cemerlang.

Turut hadir ialah Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri, Datuk Zaidi Attan serta Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Negeri, Sa’ari Basiron.

Selain itu, Datuk Wira Abdul Razak menjelaskan, antara kombinasi beberapa acara lain yang akan diadakan di negeri ini secara serentak seperti Mesyuarat AMCA ke-11 ialah Festival Seni Selat Melaka 2024, Festival Sungai Melaka 2024 dan Festival Kesenian Rakyat Antarabangsa 2024.

“Turut diadakan program bertaraf antarabangsa, iaitu acara sukan perahu layar ASEAN Cup International Regatta 2024 yang akan diadakan pada 21 Oktober hingga 27 Oktober membabitkan penyertaan pelayar dari pelbagai negara seperti Jepun, Korea, Hong Kong dan China.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi