Diterbitkan pada 16 Oktober 2024, 10:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah menganjurkan program Intelek Seni 2024 bertemakan “Menelusuri Nilai Estetika Pemakaian Busana dalam Seni Persembahan” pada 15 Oktober 2024 di Galeri Utama, Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM Kampus Puncak Alam, Selangor.

JKKN berkata, menariknya program kali ini adalah kerana pihaknya menampilkan barisan panel jemputan yang pakar dalam bidang akademik untuk membicarakan berkaitan busana.

“Pemilihan busana merupakan antara satu daripada elemen penting dalam menghidupkan jiwa sesebuah seni persembahan dan seiring dengan arus pemodenan serta inovasi dalam bidang seni persembahan, pemakaian busana kini telah mendapat suntikan serta idea baharu terutamanya daripada golongan anak muda,” katanya dalam satu kenyataan.

Pengasas Akademi Seni Tradisional Warisan Melayu, Dr. Johan Iskandar Abdul Karim ketika membicarakan perihal nilai estetika pemakaian busana dalam seni persembahan.

Tambahnya, nilai komersial dalam hal ini perlu dilihat semula agar tiada kepincangan berlaku sehingga dapat memudarkan nilai estetika busana asli dalam seni persembahan.

Justeru itu, katanya, para penggiat seni perlu bersama-sama memainkan peranan dalam memastikan keaslian busana tetap terjaga di samping melahirkan kreativiti masing-masing pada masa hadapan.

Menurut JKKN, seni busana jika dilihat dari sudut mata kasar akan ditafsirkan sebagai satu seni pemakaian yang diguna pakai oleh seorang penggiat seni bagi mencantikkan diri mereka sahaja.

“Namun begitu, dari sudut seni persembahan, seni busana merupakan satu elemen penting yang diperlukan untuk menghidupkan sesuatu watak yang ingin dipersembahkan terhadap penonton yang melihat persembahan yang dilangsungkan,” katanya.

JKKN berkata, seni busana ini juga dapat menghidupkan watak dan dapat juga menggambarkan daripada segi latar tempat dan latar masa yang dimainkan ketika persembahan dilangsungkan selain dapat memperlihatkan daripada segi mesej dan falsafah pemakaian busana tersebut.

Katanya, melalui program Intelek Seni 2024 ini, JKKN berharap dapat menyebarluaskan ilmu berkaitan seni budaya dalam usaha pemeliharaan dan pembangunan seni serta warisan negara di samping memberikan nilai tambah, ilmu pengetahuan daripada pakar-pakar terpilih kepada para pelajar dalam bidang seni budaya.

Tambahnya, program ini juga merupakan platform yang diharapkan dapat melahirkan masyarakat khususnya golongan belia yang menghargai budaya seterusnya melahirkan pelapis berbudaya dan cintakan seni.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi