Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Perlis – Perkhidmatan kereta api mewah Essential Malaysia Journey oleh E & O Express akan singgah di Stesen Bukit Keteri di Perlis mulai November 2024. Perjalanannya bermula dari Stesen Woodlands di Singapura.
Mengikut maklumat awal yang diperoleh dan tertakluk kepada perkembangan mutakhir, antara tarikh tersebut adalah pada 5, 12, 19 dan 26 November depan yang dijangka tiba sekitar pukul 1.30 petang dan berlepas semula pada 6.30 petang ke destinasi seterusnya.
Lima jam tersebut bakal dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pelancong dengan mengadakan lawatan ke destinasi menarik di negeri Perlis mengikut beberapa pilihan yang ditawarkan.
Wang Kelian View Point, Gua Kelam, Pekan Kaki Bukit serta kawasan yang lain akan menjadi tarikan utama kerana terpilih menjadi satu daripada produk persinggahan baharu tersebut.
Di Banjaran Nakawan, mereka akan menaiki basikal dan berkayuh dari satu lokasi ke lokasi yang lain di sekitar Wang Kelian bagi menikmati udara segar dan biodiversiti semula jadi serta dapat melihat hidupan liar seperti Stump-Tailed Macaque, ungka tangan putih, lutung gelap dan kera ekor panjang.
Mereka juga boleh cuba mencorak batik sendiri di Batik Inderawasih dan menikmati roti jala dan roti bakar di Rumah Kupi sebelum berkumpul semula di Stesen Kereta Api Bukit Keteri dan meneruskan perjalanan.
Demikian titah DYTM Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menurut kenyataan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selepas baginda berkenan berangkat mengetuai Kayuhan MAIPs Peduli dan Kayuhan Santuni Komuniti Kraf bersempena dengan Festival Kraf Utara 2024 di sekitar Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis baru-baru ini.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Datuk ‘Ainu Sham Haji Ramli, Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Perlis, Mohd Shahrir Mohamad Ramli dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.
Kayuhan amal ini telah dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.
Di akhir program tersebut, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan untuk mengadakan lawatan ke Pameran Produk Kraf Batik Tanah Liat di bawah Projek Pembangunan Kemahiran Komuniti PPKK Kuala Perlis dan menyantuni peserta Destinasi Asnaf Zakat MAIPs di Taman Desa Asnaf Batu Bertangkup.
Baginda yang juga Yang DiPertua MAIPs turut berkenan menyempurnakan penyerahan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada asnaf terpilih yang terpilih dari Kampung Tengah Seberang Ramai, Kampung Seberang Tok Pi dan Kampung Seberang Alor.
Setiap daripada mereka menerima bantuan wang tunai sebanyak RM700, Kits MAIPs Peduli dan beras fidyah bagi menampung keperluan masing-masing.