Diterbitkan pada 17 Oktober 2024, 15:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pelakon dan pengarah filem, Dato’ Afdlin Shauki; pelakon drama televisyen, teater dan filem merangkap penulis lirik, Che’ Kem; perantara televisyen dan penulis lirik, Ahmad Fedtri Yahya; dan pendendang syair, Dr. Shafa’atussara Silahudin antara yang turut menjayakan Seminar Keilmuan Budaya 2024 (SKB2024) dengan tema “Budaya Nilai Tinggi” pada 15 dan 16 Oktober lalu di Hotel Seri Pacific.

Dato’ Afdlin yang juga Pengerusi Persatuan Pengarah Filem Malaysia tampil sebagai seorang daripada ahli panel Forum 2 pada 16 Oktober yang membincangkan tema kecil “Negara Maju Rakyat Berbudaya” bersama-sama Tan Sri Norliza Rofli dan Dr. Tan Awang Besar, Rektor Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). Forum ini dikendalikan oleh Profesor Dr. Normah Mustaffa dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Ahmad Fedtri bertindak sebagai moderator Forum 1 yang membincangkan tema kecil “Budaya Nilai Tinggi” pada 15 Oktober oleh Profesor Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharudin (UKM), Profesor Madya Datuk Dr. Kolonel (K) Awang Azman Awang Pawi (Universiti Malaya/UM), dan Datuk Dr. Lim Swee Tin sebagai ahli panel.

Dr. Shafa’atussara, Pensyarah Kanan dan Penyelaras Program Ijazah Sarjana Muda Pengajian Melayu, UM adalah antara ahli panel Sidang 2 dengan tema kecil “Amalan Budaya Nilai Tinggi dalam Perspektif Budaya dan Warisan”, bersama-sama Dr. Mohd. Yuszaidy Mohd. Yusof (UKM), dan Dr. Marlenny Deenerwan (UM). Sidang tersebut dimudahcarakan oleh Profesor Madya Dr. Aminah Abd. Rhapor (Universiti Teknologi MARA/UiTM).

Menerusi sembilan pembentangan kertas kerja yang terbahagi kepada tiga sidang, SKB2004 dengan tema “Budaya Nilai Tinggi”, membincangkan budaya tersebut dalam beberapa perspektif, atau tema kecil yang memfokuskan pada budaya dan warisan, budaya dan teknologi, serta bahasa dan sastera.

Perbincangan berkenaan dimulakan oleh Dr. Tan yang menyampaikan Ucap tama dalam Sidang 1 dengan judul “Budaya Nilai Tinggi di Malaysia: Medium Komunikasi dalam Kemajmukan Budaya dan Pembentukan Masyarakat MADANI” pada 15 Oktober.

Dr. Mohd. Yuszaidy membincangkan topik Gotong Royong Amalan Budaya Nilai Tinggi dalam Perspektif Budaya dan Warisan; Dr. Shafa’ pula dengan Pengukuhan Komuniti Syair di Malaysia dalam Strategi dan Pelan Tindakan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) Tahun 2021-2025), dan Dr. Marlenny menyentuh Kemiskinan Apresiasi, Kehilangan Identiti: Isu-Isu Budaya dan Warisan di Malaysia.

Kaitan budaya nilai tinggi dengan perspektif budaya dan teknologi dibincangkan menerusi tema kecil “Amalan Budaya Tinggi dalam Perspektif Budaya dan Teknologi” oleh Profesor Dr. Mohd. Adnan Hashim (UiTM/Kajian Penerokaan Nilai Global dan Gaya Hidup Belia Melayu Bandar di Malaysia), Profesor Madya Dr. Abdul Latiff Ahmad (UKM/Penekanan Budaya Ilmu Tinggi Menerusi Komunikasi Antarabudaya dan Pembelajaran Kolaboratif Antarabangsa Secara Dalam Talian), dan Dr. Jazmi Izwan Jamal (ASWARA/“Digital Heritage Sandbox: Intangible Cultural Heritages Digitalisation For The Metaverse”) sebagai ahli panel Sidang 3.

Sidang pada 15 Oktober itu dikendalikan oleh Profesor Madya Dr. Wan Amizah Wan Mahmud dari UKM sebagai pemudah cara.

Kaitan budaya nilai tinggi dengan bahasa dan sastera pula dibincangkan semasa Sidang 4 dengan tema kecil “Amalan Budaya Tinggi dalam Perspektif Bahasa dan Sastera” pada 16 Oktober yang dimudahcarakan oleh Dr. Azman Ismail dari ASWARA.

Sidang tersebut menampilkan Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan dengan tajuk Kesantunan Bahasa Tunjang Budaya Nilai Tinggi; Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan (ASWARA/Amalan Budaya Nilai Tinggi dalam Perspektif Bahasa dan Sastera), dan Dr. Shamsudin Othman (Universiti Pertanian Malaysia/Cerminan Sufinisme dalam Kesusasteraan Melayu di Malaysia).

Dengan tujuan mengupas dan membincangkan perkara-perkara berkenaan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) 2021 dalam menempuh cabaran semasa, SKB2024 dianjurkan oleh ASWARA, iaitu agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), yang merupakan satu-satunya institusi pengajian tinggi berteraskan bidang seni, budaya dan warisan, bersama-sama Bahagian Dasar Kebudayaan MOTAC, dan UKM.

MOTAC turut berharap DAKEN menetapkan hala tuju untuk menjadikan Malaysia sebagai “Negara Maju Rakyat Berbudaya”, bersandarkan pendekatan budaya nilai tinggi yang ditunjangi tiga elemen utama, iaitu tatasusila, tatacara dan tahap keintelektualan, serta amalan nilai-nilai murni.

Perasmian SKB2024 disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Mohd. Yusri Mohd. Yusof, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), MOTAC, mewakili YB Khairul Firdaus Akbar Khan, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya pada 15 Oktober.

Turut hadir termasuklah Dr. Tan; Profesor Kadaruddin Aiyub, Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM; serta Wan Azilawati Wan Mahmood, Setiausaha Bahagian Dasar Kebudayaan, MOTAC.

Majlis perasmian SKB2024 menarik perhatian kerana menampilkan simbolik adat perkahwinan etnik Negeri Sembilan dengan gimik mengusung sebuah lancang yang direka khas. Dato’ Mohd. Yusri, Profesor Kadaruddin, dan Wan Azilawati diberikan penghormatan memacakkan pohon beringin pada dek lancang itu.

Sebelum SKB2024 berakhir, diadakan sesi libat urus bersama-sama pemudah caranya, Hanida Mohamed Yusof dari Bahagian Dasar Kebudayaan, MOTAC.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi