Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMelaka – Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh mengesyorkan Kejohanan Sukan Tradisional Piala Tun Teja dapat dijadikan acara tahunan untuk memastikan sukan tradisional terus popular khususnya dalam kalangan wanita.
Menurut Ketua Menteri, kejohanan yang mempertandingkan sukan tradisional itu juga akan dapat memartabatkan kembali permainan tradisional terutamanya dalam kalangan generasi muda agar tidak luput ditelan arus pembangunan dan perubahan zaman.
“Seiring dengan objektif utama penganjuran kejohanan ini untuk memperkasakan semangat kesukanan khususnya golongan wanita selain mendorong ke arah memartabatkan kembali permainan tradisional, saya berharap pertandingan ini akan diteruskan pada masa hadapan,”katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Kejohanan Sukan Tradisional Piala Tun Teja Peringkat Negeri Melaka 2024 di Japerun Pengkalan Batu, baru-baru ini.

Tambah beliau, permainan tradisional yang dipertandingkan bukan sahaja dapat mengimbau kembali kenangan zaman kanak-kanak tetapi dapat menjadi penghubung silaturahim antara masyarakat daripada pelbagai kaum,
“Saya cukup teruja melihat semangat kesukanan yang dipamerkan oleh saudari semua bagi merebut kejuaraan pertama Piala Tun Teja di bumi bertuah Melaka dan tahniah kepada semua peserta yang menyokong usaha ini.
“Malah program sebegini secara tidak langsung dapat menjalin dan mengeratkan hubungan silaturahim dan kesepakatan antara satu sama lain,” katanya.
Terdahulu, pada kejohanan yang julung-julung kali diadakan dengan penyertaan sebanyak 896 orang peserta dari 28 Dewan Undangan Negeri (DUN), sebanyak tujuh acara sukan tradisional dipertandingkan, iaitu baling selipar, congkak, batu seremban, boling kelapa, baling telur, bola ping pong dalam sudu serta bola jaring.
Kejohanan itu menyaksikan pasukan DUN Rembia dinobatkan sebagai juara keseluruhan kejohanan sekali gus merangkul Piala Tun Teja edisi pertama.
Antara yang turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan, Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri, Datuk Rais Yasin, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti Negeri, Datuk Kalsom Noordin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Negeri, Datuk Ngwe Hee Sem bersama timblannya, Siti Faizah Abd Azis; serta Adun Pantai Kundor, Tuminah Kadi @Mohd Hashim.