Diterbitkan pada 21 Oktober 2024, 22:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala LumpurKitab Tib merupakan khazanah yang perlu dipulihara, lambang kearifan masyarakat Melayu dalam penjagaan kesihatan dan penyembuhan penyakit selain boleh dijadikan sumber rujukan kepada aplikasi moden.

Demikian antara kesimpulan yang dinyatakan oleh Pegawai Penyelidik Kanan, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), YBrs. Dr. Nik Musa’adah Mustapha dalam Wacana Etnosains dan Teknologi Alam Melayu (Siri 4): Penemuan Saintifik dalam Perubatan Tradisional anjuran Pusat Dokumentasi Melayu (PDM) pada pagi tadi.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Hazami Jahari berucap menyempurnakan perasmian Wacana Etnosains dan Teknologi Alam Melayu (Siri 4): Penemuan Saintifik dalam Perubatan Tradisional.

Beliau berhujah demikian ketika membicarakan kertas kerjanya yang bertajuk Kitab Tib dari Sudut Sains dan perkongsian pengalaman sebagai penyelidik dalam Projek Pengetahuan Tradisi Berkaitan Tumbuhan Ubatan di Semenanjung Malaysia.

Projek tersebut merupakan kerjasama antara FRIM dengan agensi seperti Kementerian Kesihatan Malaysia, Perpustakaan Negara Malaysia, Perbadanan Harta Intelek Malaysia serta pakar-pakar lain sejak tahun 2013.

Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.

Selain itu, FRIM menurut YBrs. Dr. Nik Musa’adah Mustapha telah berjaya menerbitkan empat karya, iaitu MSS 2999 Kitab Tib, Kitab Tib Muzium Terengganu, Kitab Tib MSS 1292 PNM dan Dermatologi dalam Kitab Tib Muzium Terengganu hasil daripada kerjasama tersebut.

Pegawai Penyelidik Kanan, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), YBrs. Dr. Nik Musa’adah Mustapha kagum dengan ketelitian deskripsi simptom penyakit yang dinyatakan dalam Kitab Tib Muzium Terengganu.

Mengulas tentang keistimewaan Kitab Tib, beliau berkata, “ Biasanya kandungan Kitab Tib terdapat petua untuk mengekalkan kesihatan, mencegah penyakit, perawatan (kaedah mengenal penyakit, menentukan kaedah rawatan, bahan-bahan yang digunakan, penyediaan ramuan) dan pantang larang.”

Tambah beliau, “Saya kagum dengan ketelitian deskripsi simptom penyakit yang dinyatakan, contohnya teks berkaitan ubat angin sanglar yang terdapat dalam Kitab Tib Muzium Terengganu.”

Sementara itu, Ketua Pusat Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Cawangan Terengganu, Kampus Dungun, YBrs. Dr. Nor Adila Mohd Noor pula membincangkan perihal Keunikan Herba dalam Perubatan Melayu: Kajian dari Aspek Etnosains dan Etiologi Berdasarkan Manuskrip Kitab Tib dan Ilmu Kearifan Melayu.

YBrs. Dr. Nor Adila Mohd Noor membincangkan perihal keunikan herba dalam perubatan tradisional Melayu.

Beliau menyeru masyarakat agar mengubah tanggapan negatif terhadap perubatan tradisional Melayu yang sering dikaitkan dengan unsur mistik, bomoh dan sihir dengan membincangkan secara lebih ilmiah terutama aspek keunikan dan kerelevanannya.

Selain itu, beliau menyatakan bahawa masyarakat Melayu sejak turun-temurun menganggap herba seperti akar jarak, akar teratai, daun sambung nyawa, bawang putih, lada hitam, daun mengkudu, halia, tongkat ali, kunyit dan daun belalai gajah sebagai anugerah alam yang mempunyai khasiat perubatan yang tinggi dan digunakan dalam pelbagai bentuk rawatan termasuklah penyakit fizikal, emosi dan spiritual.

Beliau turut menyimpulkan bahawa kewujudan pilihan rawatan perubatan tradisional Melayu akan membolehkannya berkembang dengan lebih pesat, selamat, berkualiti dan mencapai potensi optimum dalam penjagaan kesihatan seiring dengan perubatan moden.

Ketua Pegawai Eksekutif, HERBagus Trading & Sdn. Bhd. Encik Azuki Tahir.

Panel ketiga, Ketua Pegawai Eksekutif, HERBagus Trading & Sdn. Bhd. Encik Azuki Tahir pula berkongsi pengalaman beliau dalam industri perubatan herba. “Pada tahun-tahun mendatang, produk berasaskan herba dan industri ini akan mempunyai potensi bernilai USD3.5 bilion dan ini merupakan peluang yang terhidang untuk direbut,” jelas beliau.

Beliau turut berkongsi tentang produk keluaran syarikatnya yang berasaskan daun moringa dan roselle yang boleh digunakan untuk rawatan penyakit diabetes, gout selain untuk menghasilkan produk kosmetik, teh serta sabun.

Hal ini juga jelas beliau membuktikan herba dan perubatan tradisional Melayu mempunyai potensi ekonomi yang besar jika diterokai dengan usaha penyelidikan yang lebih mendalam.

Karyawan DBP bergambar kenang-kenangan bersama-sama ahli panel Wacana Etnosains dan Teknologi Alam Melayu (Siri 4): Penemuan Saintifik dalam Perubatan Tradisional.

Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Hazami Jahari menyatakan bahawa selaras dengan pengumuman peruntukan sebanyak RM50 juta yang bakal diterima oleh DBP menerusi Belanjawan 2025 yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri baru-baru ini, DBP bakal merancakkan dan menyuburkan lagi aktiviti berbentuk wacana dalam pelbagai bidang seperti yang dianjurkan pada hari ini.

Jelas YBrs. Dr. Hazami, “Saya mengalu-alukan semua pihak untuk bekerjasama dengan DBP untuk menganjurkan wacana-wacana ilmu seperti ini dan DBP bersedia untuk meyediakan peruntukan yang sewajarnya.” Hal ini jelas beliau lagi bertepatan dengan usaha DBP untuk menjulang bahasa Melayu sebagai bahasa negara, bahasa ilmu dan bahasa ekonomi.

Turut hadir dalam wacana yang dikendalikan oleh Encik Hapizan Abdullah tersebut ialah Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa; Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Dr. Rusmadi Baharudin; Ketua PDM, Encik Salim Md Zin serta karyawan DBP.

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi