Oleh Azrin Eddy
21 Oktober 2024, 16:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Bersempena dengan Bulan Bahasa Kebangsaan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah telah mengadakan Wacana Kearifan Tempatan Sabah yang mengangkat tema “Kearifan Tempatan Pemangkin Industri Pelancongan di Sabah” pada 16 Oktober 2024, di Ruai Utama, DBP Cawangan Sabah.

Antara objektif pelaksanaan program ini adalah untuk mengangkat produk tempatan Sabah yang menggunakan elemen kearifan tempatan dalam penghasilannya melalui program wacana yang bersifat santai.

Wacana ini dihadiri oleh sebanyak 187 peserta dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kent, IPG Kampus Gaya, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah Kampus Kota Kinabalu, City University Malaysia (Sabah), Bahagian Perkembangan Kanak-kanak Yayasan Sabah, Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) serta Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Suara Buluh Perindu Sabah (SBPK) Taman Budaya dan Inovasi Kundasang (TABIK).

 

Sesi pembentangan kertas kerja oleh ahli panel Wacana Kearifan Tempatan Sabah “Kearifan Tempatan Pemangkin Industri Pelancongan di Sabah”.

Panel pembentang kertas kerja wacana kali ini terdiri daripada YBrs. Profesor Madya Dr. Jurry Foo, Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar, UMS, Encik Kohadie Watiman, Timbalan Presiden Persatuan Kampungstay dan Homestay Malaysia dan Puan Mariana Taliban, Pengerusi SBPK.

Ketiga-tiga panel masing-masing membawa topik yang berbeza yang berkaitan dengan produk pelancongan yang berasaskan kearifan tempatan Sabah. YBrs. Profesor Madya Dr. Jurry Foo berkongsi tentang satu daripada produk inovasi yang diperkenalkan oleh kumpulan penyelidik UMS, iaitu serunding kubis. Produk tempatan ini mempunyai nilai sentimental, terutamanya dalam kalangan para pengusaha sayur-sayuran di daerah Ranau.

Umum mengetahui bahawa pandemik COVID-19 telah menjejaskan banyak pengusaha besar, mahupun kecil. Tidak terkecuali para pengusaha sayur-sayuran yang berdepan dengan masalah lambakan kubis di daerah Ranau ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan pada tahun 2020.

Serunding kubis merupakan makanan inovasi berasaskan kubis yang dihasilkan menggunakan kearifan yang sedia ada, iaitu kaedah penggorengan, kaedah yang sama digunakan dalam menghasilkan serunding tuhau dan serunding sayur campur. Baru-baru ini, serunding tuhau berjaya memasuki pasaran antarabangsa apabila tersenarai dalam Halal Food Street di United Kingdom.

“Untuk mengubah cara hidup sesuatu masyarakat daripada bidang pertanian sepenuhnya kepada bidang pelancongan bukanlah sesuatu yang mudah,” demikian jelas panel kedua, Encik Kohadie Watiman.

Peserta Wacana Kearifan Tempatan Sabah , “Kearifan Tempatan Pemangkin Industri Pelancongan di Sabah” fokus mendengar pembentangan oleh ahli panel.

Kecenderungan penduduk kampung menceburi sistem ekonomi tradisional seperti pertanian dan memiliki kemahiran komunikasi yang agak terhad, terutamanya dalam pertuturan bahasa asing seperti bahasa Inggeris merupakan satu daripada cabaran yang dihadapi oleh Walai Tokou. Namun, cabaran-cabaran sebegini berjaya diatasi oleh Walai Tokou sebagai sebuah pusat penginapan di daerah Ranau yang banyak menonjolkan kearifan tempatan Sabah dari segi promosi dan operasinya.

Puan Mariana Taliban, panel ketiga pula berkongsi mengenai peranan TABIK dalam memulihara kearifan tempatan berasaskan muzik bambu. Selain daripada berperanan sebagai pusat pemindahan ilmu, pusat rujukan budaya, pusat pelancongan di Sabah, TABIK juga berperanan sebagai pusat inovasi.

Banyak generasi muda yang tidak begitu berminat untuk belajar bermain alat muzik bambu seperti sompoton kerana dianggap sebagai sesuatu yang susah. Oleh itu, seorang aktivis SBPK menerusi TABIK telah mencipta sebuah alat muzik baharu yang lebih mesra pengguna yang dinamakan kurahas. Sebelum ini, SBPK pernah diundang untuk membuat persembahan di pentas antarabangsa termasuklah Brunei, Switzerland dan Amerika Syarikat.

Sabah merupakan negeri yang kaya dengan khazanah budaya yang rencam dan unik. Keunikan ini boleh dijadikan sebagai satu daripada tarikan pelancong di negara kita, seterusnya dapat menjanakan ekonomi negara. Wacana ilmu yang bersifat santai seperti ini wajar diteruskan demi menarik lebih ramai peserta, terutamanya dalam kalangan generasi muda, para penyelidik dan pengusaha-pengusaha tempatan di Sabah.

Turut hadir memeriahkan program ialah Timbalan Pengarah I DBP Cawangan Sabah, Puan Jennitah Noordin, YBrs. Dr. Rosie Johnny, Pensyarah IPG Kampus Kent, YBrs. Dr. Israh Aripin, Pensyarah IPG Kampus Gaya, YBrs. Dr. Norsuhaila Sulaiman, Pensyarah Akademi Seni dan Teknologi Kreatif, UMS, Encik Clement Yoo, Pengurus Pentadbiran Bahagian Perkembangan Kanak-kanak, Yayasan Sabah, Hajah Asnah Hj. Ag Besar, Pegawai Kanan Penyelidikan dan Pembangunan Yayasan Sabah dan Puan Julianah Kuli, Timbalan Pengarah II, DBP Cawangan Sabah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.