Diterbitkan pada 21 Oktober 2024, 16:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Melaka – Bersempena dengan International Cultural & Arts Festival 2024 @Sungai Melaka (ICAF 2024), Kerajaan Negeri Melaka melalui Institut Warisan Melaka (INSWA) menganjurkan Festival Kesenian Rakyat Antarabangsa 2024 bermula hari ini hingga 27 Oktober.

Pengurus Besar INSWA, Drs. Mohd. Nasruddin Rahman berkata festival yang menghimpunkan sebanyak 180 penari dan pemuzik dari dalam dan luar negara itu akan membuat persembahan di tujuh lokasi pelancongan utama di sekitar Melaka.

Menurutnya, persembahan kebudayaan akan diadakan di Menara Taming Sari, Dataran Pahlawan Melaka Megamall, Muzium Rakyat, Victoria Fountain, Panggung Bangsawan, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) serta persembahan pada Majlis Perasmian International Cultural & Arts Festival 2024 @ Sungai Melaka.

“180 penari dan pemuzik terlibat sepanjang festival ini dan antara negara yang terlibat ialah Korea Selatan, Uzbekistan, Filipina, Thailand, Indonesia, iaitu dari Bengkalis dan Tanjung Pinang manakala Malaysia diwakili peserta dari negeri Selangor, Sabah, Sarawak dan tuan rumah Melaka,” katanya .

Menurut Drs. Mohd. Nasruddin, festival yang dianjurkan Institut Warisan Melaka (INSWA) turut mendapat kerjasama Melaka World Heritage Sdn Bhd, Tourism Melaka, Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) dan International Council Of Organizations Of Folklore Festivals And Folk Art (CIOFF) Malaysia.

“Festival Kesenian Rakyat Antarabangsa 2024 ini dianjurkan bertujuan membuktikan pengamatan kesenian serta nilai-nilai murni budaya yang berperanan dalam pembangunan sahsiah diri, ilmu, masyarakat dan negara.“Seni budaya dan warisan juga berupaya memainkan peranan yang penting sebagai pemangkin pembangunan nilai kesenian dan kebudayaan terhadap masyarakat dan negara.

“Matlamat festival ini juga adalah untuk memperkenalkan seni budaya, warisan dan kepelbagaian cara hidup rakyat melalui seni persembahan muzik dan tarian negara masing-masing,” katanya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi