Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAlor Gajah – Sebanyak 55 orang belia dari Negeri Sembilan, Melaka dan Johor menyertai Kem Generasi Budaya Peringkat Zon Selatan yang diadakan mengikut zon dari 15 Oktober hingga 18 Oktober lalu.
Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka, Ezlina Alias, berkata, kem anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui JKKN dengan kerjasama Akademi Kenegaraan Malaysia itu merupakan siri yang kelima daripada enam siri Kem Generasi Budaya yang akan diadakan mengikut zon di seluruh Malaysia.
Menurut Ezlina, pelaksanaan pertama Kem Generasi Budaya telah diadakan di Zon Utara pada 18 September hingga 21 September 2024; siri kedua di Zon Sarawak pada 23 September hingga 26 September 2024; siri ketiga di Zon Tengah pada 2 Oktober hingga 5 Oktober 2024; siri keempat di Zon Timur pada 8 Oktober hingga 11 Oktober 2024; Zon Selatan pada 15 Oktober hingga 18 Oktober 2024 dan Zon Sabah pada 28 Oktober hingga 31 Oktober 2024.
“Kem Generasi Budaya ini merupakan program yang memfokuskan penerapan jati diri dan pembentukan keperibadian yang mulia dalam kalangan belia yang membabitkan belia berumur 18 tahun hingga 30 tahun daripada pelbagai kaum termasuklah etnik Sabah dan Sarawak.

“Melalui program ini, peserta dapat menonjolkan bakat dan kreativiti dalam bidang seni dan budaya menerusi program yang dilaksanakan dalam bentuk interaksi, ceramah dan latihan dalam kumpulan.
“Kem yang diketuai Pegawai Projek Zon Selatan, Muhammad Na’im Azmi yang merupakan Artis Budaya Kejurulatihan JKKN Melaka ini turut bermatlamat melatih untuk melahirkan pemimpin NGO baharu dengan menubuhkan persatuan seni budaya yang dapat menjanakan ekonomi melalui persatuan atau syarikat yang ditubuhkan,”katanya.
Menurut Ezlina, Kem Generasi Budaya merupakan kesinambungan program Kem Sosio Budaya yang pernah dilaksanakan oleh Bahagian Kebudayaan di bawah Kementerian Belia dan Sukan sejak tahun 1972 dan kali terakhir penganjuran yang dilaksanakan adalah pada tahun 2015.
Jelasnya, program itu juga telah mendapat kerjasama dari Akademi Kenegaraan Malaysia dan merupakan satu daripada inisiatif JKKN untuk menyemarakkan aktiviti seni budaya dan warisan yang dapat memperkuatkan jati diri dalam kalangan peserta sejajar dengan enam Nilai Teras Malaysia MADANI, iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan.
Selain itu kem itu juga turut menampilkan penceramah jemputan dari pengurusan tertinggi JKKN Kuala Lumpur dan Melaka, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) Negeri Sembilan, Suruhanjaya Pendaftaran Syarikat (SSM) Melaka, Persatuan KakiSeni.Com dan sesi bersama artis jemputan seperti Mawi dan pelakon terkenal tanah air, Johan Ariff As’ari.

“Melalui program ini juga, JKKN berharap agar peserta dapat mempelajari ilmu baharu, meluaskan jaringan kerjasama selain memberikan impak positif yang melahirkan generasi muda yang cinta akan seni dan budaya,”katanya.
Majlis perasmian penutup Kem Generasi Budaya Peringkat Zon Selatan itu telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah JKKN, Mohd Amran Haris dan turut dihadiri Pengarah JKKN Negeri Sembilan, Rahmat Md Nor dan Pengarah JKKN Johor, Hasnimizan Ishak.