Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Program Bicara @ Muzium, “Melayu Jati, Melayu Dagang dan Melayu Peranakan” yang berlangsung di Muzium Negara menyaksikan dua pembentangan ilmiah oleh tokoh-tokoh sejarah terkemuka, dipengerusikan oleh Timbalan Pengarah Muzium Negara, Puan Nor Hanisah Ahmad.
Pembentangan pertama, “Melayu Jati, Dagang dan Peranakan dalam Memori Kesejahteraan Malaysia: Sudut Pandang Seorang Pelajar Sejarah” oleh YBrs. Profesor Emeritus Datuk Dr. Abdullah Zakaria Ghazali, seorang sejarawan terkemuka, menyoroti bagaimanakah identiti Melayu didefinisikan dalam konteks sejarah dan Perlembagaan Persekutuan.
Beliau menjelaskan bahawa takrif Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia merangkumi mereka yang menganut agama Islam, bercakap menggunakan bahasa Melayu dan mengikuti adat Melayu. Ini termasuklah penduduk Semenanjung Tanah Melayu dan wilayah-wilayah lain di Malaysia.

Menurut YBrs. Profesor Emeritus Datuk Dr. Abdullah Zakaria, geografi Semenanjung Tanah Melayu yang dikelilingi laut menjadi penghubung penting antara pelbagai negeri dan negara melalui laluan perdagangan.
“Ini membuka ruang kepada penghijrahan pelbagai bangsa, termasuk pedagang dari China, India, Arab serta perantau dari kepulauan Melayu seperti Sumatera, Jawa, Sulawesi dan Borneo yang turut menetap di negeri-negeri Melayu,” ujar beliau.
Kepentingan ekonomi British di Pulau Pinang (1786), Singapura (1819), dan Melaka (1824) turut memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat Melayu yang rencam dan berwarna-warni latar belakangnya.
“Perkembangan ekonomi dan kepentingan perdagangan, serta kekayaan sumber seperti bijih timah, mendorong British campur tangan di negeri-negeri Melayu, bermula dengan negeri Perak.”
“Bagi memenuhi keperluan pengeluaran bijih timah, buruh dari China dibawa masuk untuk bekerja di lombong-lombong. Sementara itu, perkembangan perniagaan menarik kehadiran pedagang India dan Arab yang datang untuk membuka perniagaan di Pulau Pinang, Singapura dan Melaka,” jelas beliau.
Pembentangan kedua bertajuk “Melayu Peranakan: Satu Penelitian Sejarah terhadap Jawi Peranakan dan Samsam” oleh YBrs. Dr. Azharudin Mohamed Dali, pensyarah kanan di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, menumpukan kepada kajian mendalam mengenai sejarah dan perkembangan masyarakat Melayu Peranakan, khususnya Jawi Peranakan dan Samsam.

Menurut beliau, masyarakat Melayu Peranakan terbentuk hasil perkahwinan campur antara orang Melayu Jati atau Melayu Dagang dengan bangsa-bangsa lain, seperti India dan Arab. Generasi kedua dan seterusnya mula mengasimilasikan ciri-ciri Melayu dalam budaya mereka, menjadikan unsur-unsur Melayu semakin dominan dalam kehidupan seharian mereka.
Masyarakat Jawi Peranakan di Pulau Pinang, Kedah, Melaka dan Singapura dikenal pasti sebagai keturunan campuran Melayu-India yang masih mengekalkan amalan budaya Melayu, disulam dengan unsur-unsur tradisi India. Fenomena ini mencerminkan perkembangan sosial unik yang menyumbang kepada kepelbagaian budaya Malaysia.
Program ini berjaya memberikan pencerahan kepada peserta mengenai evolusi identiti dan budaya Melayu, khususnya melalui lensa sejarah dan sosioekonomi.
Program ini dihadiri oleh 303 penonton di Auditorium Jabatan Muzium Negara, terdiri daripada guru-guru Sejarah, pelajar sekolah menengah dan universiti, serta orang awam. Program ini turut disiarkan secara langsung melalui akaun Facebook Muzium Etnologi Dunia Melayu.