Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia (BNM MAG) kini menganjurkan Bazar Seni 2024, program yang meriah bagi meraikan seni dan masyarakat. Bazar ini berlangsung dari 25 Oktober hingga 3 November 2024 bertujuan untuk mempamerkan bakat tempatan melalui lensa kegembiraan dan kreativiti.
Bazar Seni BNM MAG pada tahun ini bertemakan “Rai Riang Ria” yang mengabadikan kemeriahan acara ini dengan tepat. Menampilkan karya berwarna-warni dan ilustrasi yang menarik perhatian, bazar ini mengetengahkan pelbagai bentuk karya kreatif yang mencerminkan kegembiraan, ketenangan dan keindahan. Sama ada sebagai pencinta seni atau hanya mencari sesuatu yang istimewa, bazar ini menawarkan pengunjung pelbagai karya seni unik dan produk kreatif yang memberikan inspirasi dan keceriaan.
Menampilkan lebih daripada 18 orang bakat muda tempatan, pengunjung boleh mendapatkan hasil seni, beramah mesra dengan pengkarya dan mengetahui kisah di sebalik setiap hasil karya mereka di bazar ini.
“Rai Riang Ria menyorot karya-karya seni yang dapat mencetuskan rasa gembira, inspirasi dan penghayatan. Dalam dunia yang penuh cabaran, bazar ini meraikan daya kreativiti yang menyemarakkan semangat kemasyarakatan dan kebahagiaan bersama. Kami berharap Bazar Seni ini dapat membuatkan pengunjung berasa teruja dan gembira seperti para pengkarya yang menghasilkan karya seni mereka. Kami berbesar hati dapat menawarkan satu platform yang menyerlahkan bakat luar biasa dalam masyarakat kita,” kata Pengarah BNM MAG, Noreen Zulkepli.
Selain itu, “Rai Riang Ria” turut menyediakan pelbagai gerai yang menjual kraf tangan tempatan, produk organik, makanan dan minuman, pakaian dan barangan kemas serta wangian. Bazar ini menjanjikan pengalaman yang mengasyikkan kepada semua pengunjung.
Tanpa mengenakan sebarang bayaran masuk, Bazar Seni 2024 “Rai Riang Ria” mempelawa pengunjung menghayati seni, budaya dan indahnya rasa kebersamaan. Dengan karya seni yang berharga RM2,500 ke bawah, pengunjung berpeluang menemui karya yang sesuai dengan jiwa mereka sambil menikmati suasana yang meriah.