Diterbitkan pada 25 Oktober 2024, 11:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Program Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) 2024 Peringkat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah berlangsung dengan jayanya pada 22 Oktober hingga 24 Oktober 2024  dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Buku Sekolah dan DBP Wilayah Tengah.

Sebanyak tiga program diadakan, iaitu Pertandingan Kembara Bahasa (Eksplorasi) di Taman Botani, Putrajaya yang disertai oleh 12 buah kumpulan. Program ini memperlihatkan keupayaan peserta menjawab soalan yang berkaitan dengan bahasa.

DBK Peringkat KBS telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Haji Md Johari Hasan dan diiringi oleh Encik Ruslan Abdull Raffar, Ketua Editor Bahagian Buku Sekolah, Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan KBS, Encik Richard Barahim dan Pengarah DBP Wilayah Tengah, Puan Nurul Julia Alani Henry.

Pada hari berikutnya, diadakan Pertandingan Pintar Eja yang disertai oleh 20 orang peserta daripada pelbagai bahagian di KBS bagi menguji kemahiran peserta dalam ejaan.

Forum Santai Bahasa: Usaha Pemantapan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan yang menampilkan YB Senator Profesor Emeritus Datuk Seri Dr. Awang Sariyan sebagai pembicara dan Ketua Bahagian Perkamusan DBP, Encik Abdul Ghani Abu, sebagai pemudah cara.

Pada hari tersebut turut berlangsung, Pertandingan Pengacaraan Majlis yang menyaksikan 11 orang peserta menunjukkan bakat pengacaraan masing-masing.

Sementara itu, Forum Santai Bahasa: Usaha Pemantapan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan telah diadakan pada 24 Oktober 2024 yang dikendalikan oleh Encik Abdul Ghani Abu, Ketua Bahagian Perkamusan DBP dan YB Senator Profesor Emeritus Datuk Seri Dr. Awang Sariyan sebagai pembicara. Beliau membicarakan perihal sejarah dan kehebatan penggunaan bahasa Melayu di serata dunia.

Peserta Pertandingan Pintar Eja bersama-sama urus setia dan para hakim.

Majlis Perasmian Penutupan DBK 2024 Peringkat KBS dirasmikan oleh Puan Nurul Julia Alani Henry, Pengarah DBP Wilayah Tengah. Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa DBK mampu menyerlahkan jati diri dan citra bangsa Malaysia menerusi bahasa dan sastera kebangsaan; serta mempersegar kecintaan dan kemegahan terhadap bahasa Melayu.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi