Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangGeorge Town – Teater “Aci Patmabi,” arahan YBrs. Dr. Azrul Azizi Amirrul, pensyarah teater di Pusat Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia (USM), menampilkan pementasan yang penuh emosi dan penghargaan terhadap nilai budaya serta ketabahan insan. Berdasarkan novel “Aci Patmabi,” terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), pementasan ini menyoroti perjalanan hidup seorang wanita yang rela berkorban demi masyarakat.
Dalam satu sesi temubual bersama-sama wartawan Dewan Budaya, YBrs. Dr. Azrul Azizi berkongsi tentang cabaran utama dalam mengadaptasi novel ini kepada medium teater dan bagaimana beliau menyampaikan inti pati karya tersebut kepada penonton.
Menurut YBrs. Dr. Azrul Azizi, cabaran utama ialah pembikinan skrip kerana melibatkan latar masa yang panjang, iaitu sejak Aci Patmabi remaja hingga lanjut usia dan menyebabkan pementasan ini mempunyai durasi yang panjang. Tambah beliau:
Pementasan ini sangat mencabar kerana kami perlu memastikan psikologi penonton berada pada tahap yang ideal sepanjang pementasan agar mereka mampu fokus dan mengapresiasi cerita, konflik dan karakter pementasan.
Beliau juga menyebut tentang penyesuaian aspek visual melalui pengarahan, lakonan dan sinografi yang memerlukan penyelarasan dengan penaja, belanjawan dan pengurusan. “Ini satu cabaran yang besar kerana melibatkan tenaga kerja yang ramai dan menuntut ketahanan mental serta emosi sepanjang proses ini,” tambahnya lagi.

Dalam konteks seni teater, YBrs. Dr. Azrul Azizi menerangkan bahawa pemilihan elemen penting dalam novel ialah tanggungjawab penulis naskhah. “Dalam konteks pementasan, skrip ialah manual dan skema aksi yang digunakan oleh pengarah untuk mewujudkan satu dunia atau latar yang memberikan kesan secara mental dan emosi kepada penonton,” katanya.
Sebagai pengarah, beliau bertanggungjawab untuk menggubah elemen penting yang telah ditentukan oleh penulis skrip dan dipersembahkan dalam aspek audio visual. “Saya menggunakan segala pengetahuan, pengalaman dan kemahiran saya secara kreatif untuk mewujudkan ‘dunia’ skrip tersebut, sekali gus merealisasikan elemen-elemen penting yang telah terpilih dalam skrip tadi,” jelas YBrs. Dr. Azrul Azizi.
Ketika ditanya mengenai sebarang perubahan dalam cara penyampaian atau ton naratif daripada versi novel kepada teater, YBrs. Dr. Azrul Azizi mengakui terdapat interpretasi berbeza mengenainya.
“Ya, terdapat interpretasi berbeza antara novel dengan teater, yang bersifat selektif sesuai dengan keperluan medium teater,” ujarnya. “Perubahan ini termasuklah aksi, watak, interaksi antara watak, latar tempat dan zaman.”
“Semua olahan ini dilakukan dengan berpegang kepada jiwa atau persoalan utama yang dianggap penting daripada pandangan penulis naskhah terhadap novel ini, pada masa yang sama turut memberikan refleksi personalnya sebagai pengkarya terhadap keseluruhan novel ini,” ujarnya.
Beliau menekankan bahawa perubahan ini dilakukan agar bersesuaian dengan konteks seni teater yang selektif dan disiplin seni teater, sekali gus mengekalkan penghormatan terhadap suara asli penulis novel.

YBrs. Dr. Azrul Azizi turut berkongsi tentang mesej utama yang ingin disampaikan melalui teater ini. “Pertama sekali, saya berharap agar teater ini berupaya meningkatkan atau mendorong apresiasi khalayak terhadap novel ini,” katanya.
“Mungkin, setelah menonton teater ini, mereka akan lebih tertarik atau ingin tahu untuk membaca novel yang sangat baik ini.”

“Dalam konteks pengkarya, saya ingin penonton merasai dan menghayati perjalanan hidup Aci Patmabi, seorang wanita yang memiliki cita-cita murni namun tidak sempurna. Aci Patmabi mengorbankan hidupnya sebagai seorang isteri dan ibu untuk niat murninya terhadap masyarakat. Dalam hidup ini, pilihan kita akan menuntut pengorbanan yang akan memberikan kesan tertentu. Oleh itu, kita perlu sentiasa mempertimbangkan segala pilihan kita dan meletakkannya di tempat yang betul kerana sebaik-baik tempat adalah yang telah ditetapkan oleh Allah SWT, jika tidak, mungkin kita akan menzalimi diri kita sendiri dan juga orang lain di sekitar kita.”
Demikian YBrs. Dr. Azrul Azizi turut berkongsi tentang bagaimana elemen budaya yang digambarkan dalam novel dihidupkan di atas pentas. Ujar beliau:
“Elemen budaya dipaparkan dalam aspek visual melalui latar set pentas. Elemen-elemen ni dilakukan dalam bentuk simbolik melalui penggantungan picturesque latar tempat berlakunya aksi dramatik yang akan diserlahkan melalui sorotan pencahayaan terhadap picturesque latar babak dalam pementasan, iaitu foto tempat di sekitar Pulau Pinang pada era tersebut.”
Menurut beliau, latar zaman turut dipaparkan melalui penggunaan muzik, kostum, solekan dan aksi dramatik, konflik watak, karakter serta dialog yang secara langsung memaparkan pemikiran dan amalan masyarakat pada ketika itu.

Menurut YBrs. Dr. Azrul Azizi, pementasan ini mempunyai peranan penting dalam mempromosikan karya sastera tempatan dan memperkukuh naratif budaya. Jelas beliau:
Secara fitrahnya, manusia suka dan tertarik kepada perbandingan. Apabila sesebuah novel diadaptasi kepada medium teater, filem atau karya adaptasi lainnya, novel-novel tersebut menjadi ‘buruan’ untuk mereka membandingkan atau mencari perbezaan antara novel dengan medium adaptasi.
YBrs. Dr. Azrul Azizi turut menyatakan bahawa adaptasi ini dapat membantu masyarakat menjadi lebih kritikal dan reflektif.
“Mungkin sumbangan melalui teater ini kecil, tetapi kredibiliti seni teater yang memberikan kesan langsung terhadap psikologi manusia ini, sesuai untuk khalayak pemula dan golongan tertentu seperti kanak-kanak atau remaja. Sifat seni teater yang interaktif, selektif, tepat pada intinya dan minimal ini lebih mudah untuk ditanggapi dan membuka ruang baharu bagi mereka mula berminat terhadap karya itu untuk membacanya.”

Pementasan “Aci Patmabi”, yang berlangsung selama tiga hari dari 24 hingga 26 Oktober 2024 bersempena dengan Sambutan 25 Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) serta 25 Tahun Pusat Pengajian Seni USM, merupakan persembahan yang menyentuh jiwa serta menghidupkan naratif budaya tempatan, sekali gus mengajak khalayak untuk lebih menghargai sastera dan warisan budaya tanah air.
Pementasan teater ini disempurnakan perasmiannya oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Haji Abdul Razak.
Turut hadir dalam pementasan teater tersebut ialah Sasterawan Negara merangkap Ahli Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Dato’ Dr. Mohd. Anuar Haji Rethwan (Anwar Ridhwan); mantan Ketua Menteri Pulau Pinang, YBhg. Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon; Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari; Naib Canselor USM, YBhg. Prof. Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Haji Mohd Yussof Latiff; Konsul Jeneral Kehormat Negara Pakistan, YBhg. Dato’ Seri Dr. Haji Abdul Rafique Abdul Karim; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), DBP, Tuan Haji Md. Johari Hasan; dan Pengarah DBP Wilayah Utara, Encik Armin Azhari Saleh. Selain itu, dewan turut dipenuhi oleh 490 penonton, terdiri daripada ketua-ketua bahagian DBP, staf USM, pelajar-pelajar USM dan orang awam.