Oleh Elvienie Petrus
30 Oktober 2024, 09:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tanjung Malim – Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melakar sejarah indah dengan suasana malam kebudayaan sebagai simbolik penyatuan bangsa Malaysia dalam Majlis Perasmian Perkampungan Budaya: Bahtera Madani Gala Bitara K.A.T.A Madani 2024.

Acara ini menghimpunkan pelbagai elemen warisan dan aspirasi negara dan berjaya menarik kehadiran lebih 4000 mahasiswa dari dalam dan luar negara.

Program ini merupakan inisiatif Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta Universiti Pendidikan Sultan Idris sebagai tuan rumah, berfungsi sebagai platform bagi generasi muda mendalami dan menghargai warisan budaya bangsa selaras dengan prinsip-prinsip MADANI.

Lebih daripada 200 peserta dari 30 Institut Pengajian Tinggi seluruh Malaysia dan dua universiti antarabangsa, iaitu Institut Seni Budaya Indonesia Bandung (ISBI) dan Universitas Pendidikan Indonesia Bandung (UPI) telah berkampung selama 4 hari di bumi Muallim untuk mengenali dan menghayati seni warisan budaya Malaysia.

Peserta Malam Gala Bitara K.A.T.A MADANI bergambar kenang-kenangan selepas program tamat.

Malam Gala Bitara K.A.T.A MADANI yang menjadi malam penutup bagi program ini menyajikan pelbagai persembahan menarik termasuklah perasmian lagu MAKUM bertajuk MAKUM Jaya yang diperdengarkan buat julung-julung kali.

Lagu tersebut merupakan hasil ciptaan Dr. Mohd Azhar Abu Bakar atau lebih dikenali dengan nama Dr. Azmeer yang kini bertugas sebagai Pengarah Pusat Budaya di Universiti Utara Malaysia manakala lirik lagu ditulis oleh Dr. Norzuraina Mohd Nor, Pengarah di Pusat Kebudayaan UPSI.

Koreografi tarian khas pula disusun oleh Encik Fauzi Amiruddin dari Fakulti Muzik dan Seni Persembahan UPSI, manakala nyanyian disampaikan oleh Adidi Tamin dari Universiti Putra Malaysia dan Norain Fatin Fatihah Abdul Ghafar dari Universiti Malaya.

Bertemakan “Gemerlapan Batik,” malam gala ini turut dimeriahkan dengan persembahan teaterikal bertajuk “Pengembaraan Menuju Madani”, melengkapkan lagi acara dengan nilai-nilai estetika budaya.

Pengarah bagi persembahan pada malam tersebut ialah Encik Amar Reza Zainalabidin, pensyarah di Fakulti Muzik dan Seni Persembahan UPSI.

Majlis perasmian disempurnakan oleh YBhg. Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, JPT, KPT. Turut hadir ialah Puan Sri Datuk Seri Rohani Abdullah, Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI; YBrs. Encik Ahmad Rizal Adnan, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Governan dan Pembangunan) JPT, KPT; YBhg. Profesor Dato’ Dr. Md Amin Md Taff, Naib Canselor UPSI; dan YBrs. Profesor Dr. Arifin Abdu, Pengerusi MAKUM.

Acara ini bukan sekadar perayaan budaya, tetapi juga menjadi wadah untuk mempererat silaturahim dan menyemai rasa cinta terhadap budaya Malaysia dalam kalangan generasi muda. Perkampungan Budaya: Bahtera Madani diharapkan dapat memperkukuh jati diri anak bangsa dan memperkuatkan aspirasi negara berlandaskan prinsip MADANI.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.