Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Deepavali tiba dengan penuh kegembiraan dan semangat meraikan Pesta Cahaya sebagai simbolik kemenangan cahaya ke atas kegelapan, kebaikan atas kebobrokan selain kekuatan ilmu mengatasi kejahilan serta keangkuhan.
Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di laman Facebooknya mengucapkan selamat menyambut Hari Deepavali kepada semua penganut Hindu.
Beliau menyeru rakyat Malaysia untuk meraikan perayaan Deepavali dengan penuh kegembiraan serta semangat perpaduan di seluruh negara.
Tambahnya, sebagai masyarakat yang kaya dengan budaya semua pihak mesti menghidupkan sikap hormat dan persefahaman antara masyarakat.
“Gunakan kesempatan ini untuk menyemarakkan perpaduan antara kaum dan mencari titik temu, selain tingkatkan ihsan kepada yang hidup melarat dan susah,” katanya.
Beliau berharap perayaan Deepavali kali ini dapat diraikan dengan semangat kebangkitan pemikiran yang segar dan murni agar darjat dan harakat rakyat seluruhnya dapat diangkat.

Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaron Ago Dagang turut mengucapkan selamat menyambut Hari Deepavali kepada semua rakyat Malaysia yang beragama Hindu bagi pihaknya dan seluruh tenaga kerja Kementerian Perpaduan Negara (KPN).
Beliau berkata, istilah Deepavali ialah gabungan dua patah kata “Deepam” yang bermaksud lampu atau cahaya manakala “vali” pula membawa makna arah atau jalan.
“Deepavali melambangkan cahaya yang mengatasi kegelapan dan kebaikan yang mengalahkan kejahatan dan menyalakan pelita-pelita melambangkan harapan dan kesedaran rohani yang dapat menghapuskan kegelapan dalam kehidupan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, Deepavali atau Pesta Cahaya, ialah waktu yang sempurna untuk merenung tentang nilai-nilai perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat kita.
Tambah beliau, Deepavali bukan sahaja dirayakan oleh penganut Hindu, tetapi juga merupakan kesempatan untuk semua rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama untuk bersama-sama meraikan kepelbagaian budaya yang kita miliki.
Katanya juga, dalam konteks negara Malaysia yang kaya dengan warisan dan tradisi yang berbeza, adalah penting bagi kita untuk menghormati dan menghargai setiap perayaan yang disambut oleh semua lapisan masyarakat.
“Dalam semangat Deepavali, kita memperkukuh ikatan silaturahim antara satu sama lain, tidak mengira agama, bangsa, atau budaya dan inilah masanya kita merayakan kepelbagaian yang menjadi kekuatan negara kita serta mengeratkan perpaduan yang telah lama terjalin”.
Selain itu, menurut beliau, keharmonian dan persefahaman merupakan asas untuk membina negara yang aman dan makmur.
Beliau berharap agar semangat Deepavali menerangi jalan menuju masa depan yang lebih cerah untuk semua.