Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Teater Pelayaran Panglima Awang telah dipentaskan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka pada 2 November hingga 3 November 2024.
Teater ini merupakan karya adaptasi daripada sebuah novel oleh Harun Aminurrashid yang diterbitkan pada tahun 1958. Anwar Mohd. Zulkifli bertanggungjawab sebagai penulis skrip bagi pementasan teater Pelayaran Panglima Awang pada kali ini.
Teater ini menyingkap peristiwa Panglima Awang atau lebih dikenali dengan nama Enrique yang telah dinobatkan sebagai manusia pertama mengelilingi dunia bersama-sama seorang pemuda keturunan Portugal, Kapten Ferdinand Magellan dalam misi peperangan selama 10 tahun.
Pengarah teater Pelayaran Panglima Awang, Hazley Abu Bakar menekankan bahawa semangat patriotisme perlu disemarakkan dalam kehidupan masyarakat Malaysia.
Ujar beliau,
Karya-karya seperti ini perlu diberikan perhatian bukan sahaja di pentas teater, malah di layar televisyen, filem, bentuk puisi, atau pelbagai bentuk platform seni. Hal ini penting untuk menyedarkan masyarakat tentang jati diri dari semasa ke semasa selain dapat menghayati perjuangan nenek moyang mereka pada masa lalu agar semangat itu sentiasa mekar dalam jiwa dan tidak dilupakan, terutamanya bagi generasi baharu.
Teater Pelayaran Panglima Awang memaparkan jalan cerita yang menarik selain unsur humor yang diselitkan melalui dialog bahasa Melayu yang mudah difahami oleh penonton.
Semua pelakon kelihatan berjaya menghidupkan watak masing-masing dengan cemerlang. Peluang menonton pementasan teater ini merupakan pengalaman yang amat bemakna dan berbaloi. Selain penonton terhibur, mereka juga dibawa merentasi sejarah epik pengembaraan Panglima Awang yang penuh warna dan memberikan kesan yang tersendiri.
Antara barisan pelakon yang terlibat ialah Md Husin, Anwar Pisang, Ika Angah LJ, Khusiary Mahayuddin, Sukry San, Apai Azha dan Shahril Kamil, mahasiswa dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, selain pesilat dari Pertubuhan Seni Silat Gayong Malaysia, Lincah Malaysia dan Cimandi Pecahan Tujuh Malaysia.
Turut hadir menonton pementasan teater tersebut ialah Encik Osman Bakar dan Encik Marzuki Yusof dari Kementerian Komunikasi dan Puan Rabi’ahtuladawyah Md. Saleh dari Dewan Bahasa dan Pustaka.