Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangGemencheh – Sebanyak 42 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Mohd Taha Gemencheh menyertai Program Perantisan Muzik Tumbuk Kalang yang diadakan di sekolah tersebut baru-baru ini.
Program anjuran Jabatan Kebudayaan Kesenian Negeri (JKKN) Negeri Sembilan itu bertujuan untuk memulihara dan memelihara warisan Tumbuk Kalang dalam kalangan generasi muda agar tidak hilang ditelan arus pembangunan yang semakin pesat.
Menurut Pengarah JKKN Negeri Sembilan, Encik Rahmat Md Noh, Program Perantisan Muzik Tumbuk Kalang merupakan perantisan seni yang berbentuk latihan dan pembelajaran kemahiran atau mentor menti bagi kesenian tradisional tersebut.
Katanya, program perantisan itu telah dilaksanakan sejak tahun 2009 dan telah menghasilkan 83 kumpulan perantisan membabitkan 1848 penyertaan melibatkan pelbagai bidang kesenian.
“Pada tahun ini, JKKN Negeri Sembilan telah memilih SMK Dato’ Mohd Taha sebagai lokasi program memandangkan usaha tersebut bertepatan dengan matlamat program ini, iaitu mengambil kira seni budaya setempat dan dibimbing oleh penggiat serta tokoh seni yang ada dan aktif di daerah ini.
”Menerusi sentuhan jurulatih Muhammad Syahmi Mohd Darif, dibantu Tuan Haji Bahari Silong, tokoh muzik Tumbuk Kalang di daerah ini serta sokongan dan dorongan daripada pengetua sekolah, Tuan Syed Naseer Syed Mohedeen serta guru sekolah, kini sekolah ini telah menjadi kumpulan Tumbuk Kalang yang terbaik setakat ini,”katanya di majlis perasmian penutup dan penyampaian sijil bagi Program Perantisan Muzik Tumbuk Kalang.
Menurut Encik Rahmat, JKKN Negeri Sembilan berharap program tersebut akan dapat melahirkan generasi muda yang mahir bermain alat muzik Tumbuk Kalang dan membantu pelajar menjadi lebih kreatif dalam bidang akademik serta pemupukan bakat mereka.
”Sebagai langkah utama dalam usaha pemuliharaan dan pemeliharaan kesenian Tumbuk Kalang, besarlah harapan JKKN Negeri Sembilan agar kumpulan yang telah dibentuk di sekolah ini akan menjadi kumpulan pelapis yang mampu berdiri sendiri di masa akan datang.
”Kami juga berharap mereka akan dapat membantu JKKN Negeri Sembilan menyemarakkan kesenian Tumbuk Kalang khususnya di daerah ini amnya dan di negeri ini khasnya agar lebih dikenali terutamanya dalam kalangan generasi muda,”katanya.