5 November 2024, 09:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – A. Wahab Hamzah, pengarah teater terkenal tanah air menggesa para penggiat teater di sekitar Kuala Lumpur memanfaatkan peruntukan dana RM50 juta yang diberikan oleh kerajaan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tahun depan.

“Peruntukan besar ini tidak boleh disia-siakan oleh semua penggiat teater di Kuala Lumpur. Gunakanlah sebaik-baiknya untuk meneruskan perjuangan berteater yang antara faktor penerusnya ialah dana,” tegas beliau yang berpengalaman kira-kira 40 tahun dalam dunia teater.

Wahab menyatakan sedemikian semasa menjadi ahli panel ketiga Forum Perkembangan Teater di Kuala Lumpur pada 1 November lalu di Panggung Bandaraya. Forum berkenaan diadakan bersempena dengan Pesta Teater Kuala Lumpur dari 21 Oktober hingga 2 November 2024, di tempat yang sama.

Turut menjadi ahli panel forum anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKKN WPKL), dan CATS Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu ialah Roslan Madun, pengarah teater/penerbit/penulis skrip teater/penyanyi lagu rakyat; dan Dr. Marlenny Deenerwan, Timbalan Dekan Fakulti Seni Kreatif, Universiti Malaya (UM).

Forum kira-kira dua jam itu dikendalikan oleh Ramzi Ramli, Ketua Bahagian Komunikasi Korporat, UM.

Turut hadir ialah Encik Mohamed Fauzi Ahmad, Ketua Unit CATS DBKL; Encik Shahrizal Abdan, Timbalan Pengarah JKKN WPKL; Mior Hashim Manap, pengarah dan pelakon filem/drama televisyen/teater veteran; pelakon terkenal Zaidi Omar; Kamarul AR, penggiat teater veteran; Sani Sudin, pelakon/penyanyi/komposer popular; Sakrani Shamsuddin, Presiden Persatuan Teater Malaysia; Profesor Emeritus Dr. Zainal Latiff; dan Siti Rohaya Atan, mantan wartawan/penggiat teater.

Sebelum itu, ketika bercerita mengenai perkembangan teater di Kuala Lumpur, Wahab yang mengaku beliau orang Kuala Lumpur walaupun dilahirkan di Perak, mengangkat dan menghargai peranan Badan Budaya DBP yang pada awalnya dipanggil Keluarga Seni.

Badan Budaya DBP bermula pada tahun 1981 dengan mementaskan teater Titah Tuanku. Wahab memberitahu beliau sangat berminat bekerja di DBP kerana mahu bertemu dengan Usman Awang yang bertugas sebagai editor Dewan Sastera, dan Rohani Rustam, iaitu isteri kepada Rustam A. Sani, rakan semasa belajar.

Mula bertugas di DBP yang menjadi tempat pertemuan pelbagai watak penulis, pelukis, penggiat teater, dan pemuzik pada tahun 1985, Wahab mengorak langkah berteater lebih serius menerusi Zaman Gerhana, arahan Zakaria Ariffin yang dijayakan hanya oleh warga DBP, sebagai tenaga produksi.

Ramzi yang tertarik dengan kemunculan Stor Teater DBP, meminta penjelasan Wahab mengenai punca mulanya ruang atau gelanggang tersebut diwujudkan hingga semakin giat dan terkenal, lantaran dimanfaatkan oleh sekian banyak produksi teater.

Jelas Wahab yang juga mantan Pengarah DBP Cawangan Sarawak, langkah ke arah Stor Teater bermula semasa beliau dan Faizal Tehrani merancang untuk mementaskan teater TIVI, daripada novel karya Sasterawan Negara Allahyarham Profesor Emeritus Dato’ Dr. Shahnon Ahmad.

“Ketika itu pentadbiran DBP sudah berpindah dari bangunan lama yang kini dipanggil Wisma DBP ke Menara DBP. Jadi, banyak ruang kosong ditinggalkan. Saya memohon kebenaran pihak pengurusan untuk menggunakan ruang kosong yang sesuai. Alhamdulillah permohonan diluluskan,” ujar Wahab yang memuji DBP kerana berusaha mendokumentasikan semua pementasan teater di premisnya.

Mengenai masalah karya teater yang cakna dan memprotes isu sosial, beliau meyakinkan pihak pengurusan DBP bahawa lebih baik anak muda yang terlibat, meluahkan ketidakpuasan hati menerusi aksi di pentas teater, ketimbang berdemonstrasi di jalan raya.

Balai Budaya Tun Syed Nasir di Wisma DBP dan Auditorium DBP di Menara DBP masih digunakan sejak kewujudan masing-masing. Walau bagaimanapun, pementasan teater di kedua-dua gelanggang itu tertakluk pada peraturan boleh, dan tidak boleh, berbanding Stor Teater yang lebih longgar, tetapi masih terkawal.

Boleh dikatakan juga kewujudan Stor Teater berpunca daripada kemunculan banyaknya kumpulan teater bebas atau disebut sebagai indie. Dari semasa ke semasa, Wahab mempelawa anak-anak muda yang bersemangat untuk berteater memanfaatkan Stor Teater.

Punca kelahiran Stor Teater dan kumpulan teater indie, juga berkait dengan kenyataan Dr. Marlenny sebagai ahli panel kedua yang menyebut kekecewaan graduan teater dari Akademi Seni Kebangsaan (ASK), yang kemudiannya Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) terhadap Istana Budaya (IB), walaupun disanggah oleh Siti Rohaya semasa sesi soal jawab.

“Semasa menerima berita penubuhan IB, kami lepasan ASK begitu gembira, dan menaruh harapan tinggi untuk bergiat dengannya. Namun demikian, corak IB yang meleset daripada harapan menyebabkan graduan ASK tiada arah tujuan,” ujar beliau yang juga Pengerusi Rumpun Seni Mekar Budaya.

Walaupun belajar mengikut sukatan pelajaran dan tugasan yang ditetapkan, tetapi Lenny turut meminati gaya indie yang baginya memenuhi erti keseronokan berteater.

Indie memang sengaja menyakat serta mengusik penonton dan pihak berkuasa dalam sesuatu isu. Mereka tidak menahan-nahan untuk meluahkan rasa marah dan hampa dalam berkarya,” jelas beliau yang mengakui cabaran berteater bukanlah kos, tetapi mencari dan mempersembahkan idea berbekas.

Sementara itu, Roslan yang kian diminati kerana lagu Lemak Manis menasihatkan penggiat teater agar berkompromi atau “mesra sistem dan teknologi”. Beliau juga bersetuju dengan pendapat Kamarul semasa sesi soal jawab bahawa penggiat teater perlu bersatu.

“Sistem itu maksudnya pemimpin kita yang ada kuasa penentu dan pembantu, daripada segi kebenaran penganjuran dan kewangan. Saya ada pengalaman baik dalam hal ini, iaitu tidak menghadapi masalah untuk mementaskan teater. Begitu juga dengan “mesra teknologi” yang membantu daripada segi promosi, dan mencantikkan persembahan,” jelas Roslan.

Sementara itu, Mior Hashim meminta penggiat teater tidak melupakan jasa DBKL; Datuk Bandar, Allahyarham Tan Sri Datuk Seri Utama Dr. Elyas Omar, serta karyawan-karyawan seperti Allahyarham Bidin Subari, Allahyarham Nasir Ali, Zain Yahya, dan Dato’ Dinsman, dalam menyemarakkan teater di Kuala Lumpur.

Sememangnya tidak sah jika ahli panel forum melupakan nama-nama tokoh dan kumpulan teater seperti Alahyarham Mustafa Noor dengan Centre Stage, Koptasa/Grup Teater Utama, Kamarul/Grup Teater Hidayah, dan Nasir/Grup Teater Artis Kreatif.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.