8 November 2024, 12:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Belud – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama kerajaan negeri Sabah menganjurkan Tamu Besar Kota Belud 2024 bagi memperkenalkan, memelihara seni dan budaya serta cara hidup masyarakat berbilang kaum di negeri Sabah sekali gus mencerminkan kesatuan dalam kepelbagaian kepada masyarakat antarabangsa.

Menurut MOTAC, Tamu Besar Kota Belud 2024 yang berlangsung dari 1 hingga 3 November 2024 di Tapak Tamu dan Padang Pekan Kota Belud merupakan satu daripada inisiatif kerajaan untuk menyemarakkan kegiatan ekonomi di negeri Sabah.

“MOTAC meraikan Tamu Kota Belud kerana Tamu Kota Belud merupakan tamu tertua Sabah sejak 1878 di samping memperkenalkan tamu ini sebagai satu daripada produk pelancongan kebudayaan yang baharu kepada dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Secara tidak langsung, tambahnya, program ini turut melestarikan dan mempromosikan produk, seni dan budaya serta warisan negeri Sabah kepada para pelancong tempatan dan antarabangsa ke arah menyemarakkan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).

Menurut MOTAC, antara pengisian menarik yang telah diatur sepanjang tiga hari program tersebut berlangsung ialah Malam Citra Warna Kota Belud, Unduk Tindal Tanganak, Persembahan Bertitik, Perarakan Usunan, persembahan kebudayaan, pencarian bakat, sukan rakyat, jualan produk kraf, produk komuniti dan produk tradisional selain reruai pameran dari agensi kerajaan bagi menghiburkan warga Negeri Di Bawah Bayu.

TYT Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Haji Juhar bin Datuk Haji Mahiruddin menyempurnakan gimik pelancaran majlis.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Khairul Firdaus Akbar Khan dalam ucapannya berkata, Tamu Besar Kota Belud berpotensi untuk diangkat sebagai satu daripada produk pelancongan dan kebudayaan negeri Sabah.

Tambah beliau, melalui program ini, pelancong berpeluang membeli hasil produk kraf tangan tempatan yang unik dan berbeza daripada hasil kraf daerah lain di Sabah selain pelancong turut menikmati keunikan budaya seterusnya melestarikan kecemerlangan seni, budaya dan warisan kita.

Menurut MOTAC, Majlis Perasmian Tamu Besar Kota Belud 2024 telah disempurnakan oleh TYT Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Haji Juhar bin Datuk Haji Mahiruddin, Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor dan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Tuan Khairul Firdaus Akbar Khan dengan suasana penuh gilang-gemilang.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Khairul Firdaus Akbar Khan ketika berucap dalam majlis perasmian program tersebut.

MOTAC berkata, pihaknya sentiasa mengangkat martabat dan menghargai setiap elemen warisan, tradisi, kebudayaan, kesenian dan adat istiadat setiap suku kaum di Malaysia.

Tambahnya, inisiatif kerajaan, Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) di bawah MOTAC ditawarkan kepada semua penggiat seni bagi memastikan ekosistem kesenian dan kebudayaan di Malaysia terus kekal berdaya saing.

Katanya, langkah ini amat bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk memartabatkan seni dan budaya pelbagai kaum di Malaysia seperti yang telah digariskan dalam Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.