13 November 2024, 08:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sultan Perak Darul Ridzuan, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan mencemar duli melancarkan buku Tun Abdul Razak: Imagining Malaysia’s Future Through His Lenses (Tun Abdul Razak: Bayangan Masa Depan Malaysia menerusi Pandangannya) di The St. Regis, semalam.

Baginda dalam titahnya menzahirkan rasa kagum akan Perdana Menteri Malaysia ke-2, iaitu Tun Abdul Razak Hussein kerana keberanian dan visi beliau sebagai seorang pemimpin setanding dengan integriti, etika kerja dan kesederhanaannya.

Oleh itu, baginda amat mengalu-alukan pendekatan yang diambil menerusi buku tersebut yang menjadikan Tun Abdul Razak Hussein sebagai sumber inspirasi untuk membantu rakyat Malaysia tatkala mengharungi zaman yang mencabar.

Sultan Perak Darul Ridzuan, DYMM Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika menyampaikan titah baginda dalam Majlis Pelancaran Buku Tun Abdul Razak: Imagining Malaysia’s Future Through His Lenses.

Bahkan, buku tersebut bukan sahaja menggambarkan legasi beliau tetapi juga sebuah penulisan yang bersifat konstruktif kerana kefahaman yang mendalam terhadap pelajaran masa lalu diperlukan untuk maju ke hadapan dengan lebih berkesan.

Baginda bertitah,

Satu daripada pencapaian penting buku ini mengingatkan kita bahawa kita telah menghadapi masa-masa sukar dan tidak stabil sebelum ini sebagai sebuah negara dan komuniti antarabangsa, dan dengan kepimpinan yang tepat, kita telah berjaya menguruskan cabaran-cabaran ini dengan berkesan.

“Premis utama buku ini adalah berbentuk dua hala, iaitu persoalan apa yang kita boleh pelajari daripada pendekatan Tun Razak; dan bagaimana kita dapat mencontohi semangat serta mengikuti jejak langkah beliau ketika kita menghadapi zaman yang penuh cabaran”, titah baginda.

Menurut baginda, antara pengajaran penting daripada buku tersebut ialah kepentingan mengambil pendekatan pentadbiran dalam jangka masa panjang, Tun Abdul Razak Hussein telah bekerja tanpa mengenal erti penat lelah untuk meletakkan batu asas perjalanan pembangunan negara yang seterusnya seperti penubuhan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan lain-lain.

Sementara itu, pembentangan sinopsis buku oleh Pengarah Eksekutif, Institut Asia-Eropah, Universiti Malaya, YBhg. Profesor Ulung Dato’ Dr. Rajah Rasiah selaku wakil editor memerihalkan bahawa latar belakang penerbitan buku tersebut hasil daripada keprihatinan beliau bersama-sama empat orang individu lain, iaitu YBhg. Tan Sri Kamal Salih, YBhg. Datuk Profesor Rahman Embong, YBhg. Tan Sri Nazir Razak, YBhg. Tuan Mohamed Tawfik Ismail tentang hala tuju tadbir urus yang telah dilalui oleh negara sejak tahun 2010.

Pengarah Eksekutif, Institut Asia-Eropah, Universiti Malaya, YBhg. Profesor Ulung Dato’ Dr. Rajah Rasiah ketika berkongsi sinopsis berkaitan dengan buku Tun Abdul Razak: Imagining Malaysia’s Future Through His Lenses.

Hal ini termasuklah sifat politik yang memecahbelahkan apabila isu kaum dan agama menjadi semakin meruncing, malah masa depan negara kelihatan suram apabila dunia berhadapan dengan ketidaktentuan yang serius setelah penularan COVID-19 pada tahun 2020.

“Justeru, kami berlima memutuskan untuk menghasilkan buku ini supaya mempengaruhi golongan terpelajar di Malaysia sekurang-kurangnya dengan harapan mereka dapat menyampaikan kepada masyarakat untuk membentuk hala tuju tadbir urus di Malaysia”, katanya.

Beliau berkata,

Kami percaya negara ini masih perlu banyak belajar daripada pentadbirannya dari sudut semangat, visi, kepimpinan dan industri walaupun landskap politik, ekonomi, dan sosial Malaysia telah banyak berubah sejak Tun Abdul Razak meninggal dunia pada tahun 1976.

Buku setebal 366 halaman tersebut merupakan terbitan Penerbit Universiti Malaya dan mengandungi 14 bab utama, antaranya termasuklah Pendemokrasian Negara: Menuju Demokrasi Deliberatif; Penyusunan Semula Ekonomi Malaysia: Wawasan yang Gagal dan Pemulihan Harapan; Pemerkasaan Asas Sosioekonomi dalam Tadbir Urus Kewangan; Masa Depan Federalisme Fiskal; Razak dan Malaysia Timur: Politik Federalisme dan lain-lain.

Selain itu, buku tersebut juga membandingkan dan membezakan dasar-dasar pentadbiran Tun Abdul Razak dengan kepimpinan berikutnya di Malaysia.

Dalam majlis yang sama, ulasan buku berkenaan turut disampaikan oleh Profesor Adjung, Institut Asia-Eropah, Universiti Malaya, YBhg. Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan dan YBrs. Profesor Johan Saravanamuttu.

YBhg. Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan selaku pengulas pertama bagi buku Tun Abdul Razak: Imagining Malaysia’s Future Through His Lenses dalam majlis berkenaan.
YBrs. Profesor Johan Saravanamuttu sebagai pengulas kedua bagi buku Tun Abdul Razak: Imagining Malaysia’s Future Through His Lenses dalam majlis tersebut.

Turut berangkat sama dalam majlis pelancaran buku tersebut ialah Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim dan dihadiri oleh Menteri Perpaduan Negara, Yang Berhormat (YB) Datuk Aaron Ago Dagang; Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang; Mantan Timbalan Perdana Menteri, YABhg. Tun Musa Hitam dan Pengerusi Yayasan Tun Razak, YBhg. Tan Sri Nazir Razak.

Pengerusi Yayasan Tun Razak, YBhg. Tan Sri Nazir Razak ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya.
Buku Tun Abdul Razak: Imagining Malaysia’s Future Through His Lenses yang telah dilancarkan.
Kredit Foto: Khairul Azhar
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.