14 November 2024, 10:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Selama lebih tiga dekad menghasilkan  album, penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin dianugerahkan sebagai Biduanita Negara bersempena dengan malam Anugerah Seni Negara (ASN) 2024 yang berlangsung di Hotel Majestic Kuala Lumpur, malam tadi.

Penyanyi berusia 45 tahun itu telah memulakan kerjayanya dalam industri muzik Malaysia seawal usia 16 tahun selepas memenangi pertandingan nyanyian Bintang Hiburan Minggu Ini (HMI) anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 1 April 1995.

Sepanjang 29 tahun dalam industri hiburan, Siti Nuhaliza yang juga merupakan anak kelahiran Kampung Awah, Temerloh, Pahang, memiliki 18 album Melayu, satu album Inggeris berjudul All Your Love dan tujuh album lain.

Sehingga kini hanya empat penyanyi legenda negara yang pernah dianugerahkan gelaran Biduan dan Biduanita Negara, iaitu Puan Sri Saloma pada tahun 1978, Datuk Sharifah Aini pada tahun 2006, Datuk Ahmad Jais pada tahun 2009 dan diikuti Tan Sri SM Salim pada tahun 2013.

Pada majlis berkenaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan mengurniakan Anugerah Khas ASN 2024 (Seniman Negara) kepada Dato’ Mohd Nor Khalid (Lat).

Terdapat empat kategori dipertandingkan pada ASN 2024, iaitu Anugerah Seniman Negara, Anugerah Khas ASN 2024: Biduan Negara, Anugerah Karyawan Seni dan Anugerah Pendukung Seni.

ASN yang diperkenalkan sejak tahun 1993 bertujuan mengiktiraf pencapaian menakjubkan penggiat seni dalam pelbagai cabang seni seperti muzik, tari, lakon, kraf dan seni visual.

Turut berangkat ialah YAM Tunku Tun Aminah binti Sultan Ibrahim.

Hadir sama, YB Khairul Firdaus Akbar Khan, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Datuk Wira Roslan Tan Sri Abdul Rahman, Ketua Setiausaha MOTAC.

 

 

 

Kredit Foto: Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.