14 November 2024, 09:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kaherah — Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, menyatakan hasrat untuk memperkukuh muzium-muzium di dalam negara dengan menambah paparan sejarah serta warisan budaya, selepas melawat Grand Egyptian Museum di Giza, Mesir.

Menurut beliau, lawatan tersebut dilakukan sebelum keberangkatannya ke Lapangan Terbang Kaherah bersama-sama delegasi Malaysia, atas jemputan rasmi Kerajaan Mesir. 

“Saya dimaklumkan bahawa muzium ini baru dibuka dan merupakan yang terbesar di dunia, menempatkan lebih daripada 100,000 artifak bersejarah Mesir,” ujar beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan melalui media sosial rasminya.

Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim berlama delegasi Malaysia berkunjung ke Grand Egyptian Museum.

Lawatan ke muzium terbesar ini bukan sahaja membuka peluang kepada delegasi Malaysia untuk meneliti keunikan dan kekayaan warisan budaya Mesir purba, tetapi turut memberikan inspirasi dalam usaha memajukan muzium di tanah air. 

“Saya percaya muzium di Malaysia juga boleh diperhebat dengan memperbanyakkan paparan sejarah serta warisan budaya negara kita,” tambah YAB Dato’ Seri Anwar.

Grand Egyptian Museum, yang terletak berhampiran dengan Piramid Giza, dijangka menjadi destinasi ikonik bagi pelancong dan penyelidik budaya dari seluruh dunia selepas pembukaan rasminya pada 16 Oktober lalu. Namun begitu, hanya sebahagian sahaja yang dibuka kepada pengunjung sementara sebahagian yang lain masih dalam proses pembinaan.

Kredit Foto: Media Perdana Menteri
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.