Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) tahun ini mengadakan program Penyemarakan Karya Agung bagi memartabatkan seni, budaya, bahasa dan sastera kebangsaan melalui pementasan karya-karya Sasterawan Negara. Satu daripada pementasan unggul yang diangkat ialah karya Sasterawan Negara, YBhg. Datuk Noordin Hassan, berjudul Sirih Bertepuk Pinang Menari yang bakal dipentaskan pada akhir bulan ini.
Menurut Ketua Pengarah JKKN, YBrs. Encik Mohd Amran Mohd Haris, program ini bukan sahaja memberikan penghormatan kepada karya agung tetapi juga berperanan mempergiat persembahan teater warisan dan memupuk minat dalam kalangan generasi muda.
“Pementasan karya agung ini bertujuan memberikan platform kepada pengkarya seni budaya untuk mengetengahkan karya seni negara, sekali gus menarik minat pelancong untuk menyaksikan kekayaan budaya kita,” ujar beliau dalam sidang media di Balai Budaya Tun Syed Nasir semalam.
Pementasan Sirih Bertepuk Pinang Menari merupakan hasil kolaborasi JKKN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bersama-sama Pertubuhan Rumpun Seni Mekar Budaya WPKL, dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai rakan sinergi. DBP menyumbang panggung pementasan, ruang latihan, dan lokasi untuk forum budaya bagi menyokong usaha ini.
Bagi pengarah teater, YBrs. Dr. Marlenny Deenerwan atau Lenny Erwan, mementaskan karya Noordin Hassan ialah satu impian yang direalisasikan. “Saya memilih Sirih Bertepuk Pinang Menari untuk menghargai pemikiran absurdis, surealis dan eksperimentalis beliau yang unik dalam dunia teater tempatan,” kata Lenny.
Produksi teater ini melibatkan 47 tenaga kerja, termasuklah pasukan kreatif seperti penerbit Along Hazirin, penolong pengarah Nik Aqil, serta pereka muzik, audio dan cahaya.
Sebanyak 22 pelakon berpengalaman dan bakat baharu turut terlibat, antaranya termasuklah YBrs. Dato’ Ahmad Tamimi Siregar, Jay Iswazir, Akmal Ahmad, Farhana Fahizam, Eliza Mustafa, Azman Hassan, Haf Dzi Sofi, Shasha Fairus.
Datuk Noordin Hassan, Sasterawan Negara ke-7, dikenali kerana keberaniannya memperkenalkan konsep anti-realisme dalam drama Melayu moden, khususnya melalui drama absurd dan eksperimental. Antara karya lain beliau yang terkenal ialah Bukan Lalang Ditiup Angin, Cindai dan Mana Setangginya.
Pementasan ini akan berlangsung pada 29 November hingga 1 Disember 2024, bermula jam 8:30 malam. Tiket berharga RM20 untuk orang awam dan RM15 untuk pelajar, warga emas serta OKU. Tiket boleh didapati melalui imbasan kod QR pada poster Instagram rumpunsenimekarbudaya atau dengan menghubungi Cik Aroha menerusi nombor telefon, 010-8226091 atau Cik Arissa menerusi nombor telefon, 018-2494933.