Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Faizal Ismail, Anas Tahir, Tajdid Hadari, Hazwan Syah, Farhira Norhisham dan Ash Anuar merupakan barisan selebriti terkenal yang mewarnai malam Simfoni Rohani anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama ASTRO Audio melalui Radio Zayan.
Berkonsepkan pengisian keilmuan dalam bentuk didik hibur yang berteraskan pengisian rohani, Simfoni Rohani menampilkan persembahan drama sebabak, deklamasi puisi dan persembahan muzikal bersumberkan bahan terbitan DBP, iaitu Hadis 40 Imam al-Nawawi.
Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari dalam ucapan perasmiannya menyifatkan bahawa kerjasama antara DBP dengan ASTRO Audio melalui Radio Zayan merupakan pendekatan strategik dan kreatif dalam membantu DBP menyebarluaskan bahasa dan sastera kepada masyarakat.
“Sokongan yang jitu terhadap aktiviti kebahasaan dan kesusasteraan menguatkan lagi semangat DBP untuk terus berjuang memartabatkan bahasa dan sastera di negara kita dengan langkah seiringan pelbagai pihak,” ujar beliau.
Beliau juga berharap agar kerjasama erat yang terjalin menerusi program seperti Simfoni Rohani dapat meningkatkan keprihatinan masyarakat untuk menggunakan bahasa Melayu dengan baik dan betul.
Malam Simfoni Rohani terisi dengan bacaan hadis dan pengajarannya termasuklah hadis tentang niat, saranan supaya meninggalkan perkara yang sia-sia serta saranan supaya mengawal perasaan marah yang dipetik daripada Hadis 40 Imam al-Nawawi.
Penyampai Radio Zayan, iaitu Tajdid Hadari, Hazwan Syah, Anas Tahir dan Farhira Norhisham bijak menghidupkan suasana malam Simfoni Rohani dengan celoteh dan elemen kecindan selain selingan nyanyian lagu oleh Ash Anuar, kumpulan Suara dan Faizal Ismail.
Lebih menarik lagi apabila Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari tampil mendeklamasikan puisi nukilannya bertajuk “Janji XVII”.
Yang turut hadir ialah Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Satera DBP, YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed; Pengurus Kandungan Radio Zayan, YBrs. Wan Syahrul Amry Wan Mansor dan Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP, Puan Roziah Md Yunus.