Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangWang Kelian – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada hari ini berkenan merasmikan Projek Pemapanan Denai Warisan Wang Tangga di bandar Kaki Bukit.
Baginda dalam ucapan perasmiannya bertitah,
Semoga projek ini akan terus membuahkan hasil yang membanggakan untuk negeri Perlis, menjadikan negeri ini sebagai satu lagi destinasi baharu utama dalam ekopelancongan yang menawarkan keunikan serta keindahan yang tersendiri.
Dalam majlis tersebut, baginda turut berkenan menyempurnakan simbolik perasmian dengan menanam sebatang pokok Giam Malut sempena Kempen Penghijauan Malaysia 100 Juta Pokok selain turut meninjau kawasan tersebut.
Projek Pemapanan Denai Warisan merupakan potensi baharu dalam kemajuan ekopelancongan di negeri Perlis menerusi keindahan alam dan keunikan warisan semula jadinya yang memberikan peluang ekonomi kepada komuniti tempatan.
Inisiatif tersebut dijangka akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dalam sektor pelancongan, perniagaan kecil serta meningkatkan pasaran produk tempatan.
Para pelancong yang datang bukan sahaja berpeluang menikmati keindahan alam semula jadi, malah dapat mengenali budaya setempat, menikmati hasil tangan penduduk dan menyumbang kepada ekonomi komuniti secara langsung.
Kejayaan projek ini hasil usaha sama Perlis Nature Explorer (PNX) dan Monyet Ventures melalui geran daripada The Habitat Foundation yang dibiayai oleh Kementerian Kewangan.
Yang turut terlibat dalam melaksanakan projek ini antaranya termasuklah Roots and Shoots Malaysia, Manulife Holdings Bhd., Sustainable Tourism Network Malaysia, Jabatan Perhutanan Negeri Perlis, Rejimen 504 Askar Wataniah, komuniti Kaki Bukit, komuniti Wang Kelian serta beberapa buah agensi dan organisasi lain.
Turut berangkat dalam majlis perasmian tersebut ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan disambut oleh Ketua Projek Pembangunan Denai Warisan, iaitu YBrs. Encik Peter Ong dan Pengerusi PNX, YBrs. Tuan Syamil Abd Rahman.