17 November 2024, 12:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Teater Tralokal Seri Waadat Rentang Amanat telah dipentaskan di Auditorim Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 15 November hingga 16 November 2024.

Teater arahan Syahidatul Munirah merangkap penulis skrip ini merupakan karya besar yang berkait rapat dengan sejarah Melayu, Sulalatus Salatin.

Teater ini menyingkap kisah Andika, Seri dan Nedzry Raphael (Nedz) yang baru pulang dari sekolah bertelagah kerana Nedz gemar mengejek nama Andika dan Seri yang padanya terlalu klasik. Pertelagahan itu didengari oleh abang Fahmi yang sedang mengemas laman rumah. Abang Fahmi menegur sikap mereka lalu mula bercerita tentang adat dan adab orang Melayu yang perlu dijadikan pedoman untuk hidup secara harmoni. Andika, Seri dan Nedzry Raphael mula teruja mendengar kisah yang diceritakan abang Fahmi berdasarkan Sulalatus Salatin.

Fahmi menceritakan sejarah Sulalatus Salatin kepada Andika, Seri dan Nedzry Raphael.

Pengarah teater Tralokal Seri Waadat Rentang Amanat, Shahidatul Munirah menekankan bahawa karya agong perlu dipentaskan agar anak-anak muda dapat menjiwai nilai sejarah terdahulu.

Ujar beliau,

Karya Sulalatus Salatin merupakan nadi kepada bangsa Melayu kerana  bukan sahaja mencatatkan sejarah yang penting, malah turut mengungkap keturunan Raja-raja Melayu yang wajar diangkat sebagai karya agung.

Semua pelakon kelihatan berjaya menghidupkan watak masing-masing dengan cemerlang. Peluang menonton pementasan teater ini merupakan pengalaman yang bermakna dan memberikan pedoman hidup kepada masyarakat.

Antara aksi babak pertempuran Portugis menentang Melaka yang mendapat perhatian penonton.

Antara barisan pelakon yang terlibat termasuklah Wan Labut, Fahmi Zamari, Ruby Wahid, Fattah Fawzy, Shahrul Skye, Ajiq Bakaruddin, Fazyra Malik, Dean Sitara, D. Veen S., Azizi Nazril, Abrar Asraf, Pak Wan, Zaini Muhamad, Eri Majid, Andika, Hana dan Dhani Andra Imani.

Turut hadir menonton pementasan teater ini ialah Sasterawan Negara, YBhg. Datuk Dr. Zurinah Hassan; Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa; Ketua Bahagian Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum mewakili Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, YBrs. Dr. Azizul Ismail; Pengarah JKKN Melaka, YBrs. Puan Ezlina Alias; Pengarah DBP Wilayah Tengah, YBrs. Puan Nurul Julia Alani Henry dan Pengarah DBP Wilayah Selatan, YBrs. Encik Mohd Riduwan Wahab.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.