18 November 2024, 10:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kira-kira 180 koleksi eksklusif terbaharu Tenun Pahang Diraja dipamerkan dalam acara “Private Viewing of the Latest Creations Tenun Pahang Diraja” yang diadakan di Hotel Mandarin Oriental, di sini pada 15 November 2024 anjuran PKNP Tenun Pahang Soi Sdn. Bhd. (PTPS) yang merupakan anak syarikat milikan penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang yang memfokuskan kerja-kerja penenunan dan jualan kain serta kraf tangan Tenun Pahang Diraja.

Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar al-Haj berkenan mencemar duli menghadiri acara acara “Private Viewing of the Latest Creations Tenun Pahang Diraja”.

Acara secara tertutup tersebut telah dihadiri oleh 250 orang tetamu kenamaan yang dijemput khas ke acara tersebut. Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar al-Haj turut berkenan mencemar duli menghadiri acara tersebut bagi melihat koleksi yang dipamerkan.

Tenunan bertemakan konsep monokrom yang dihasilkan oleh 16 orang penenun PTPS mempunyai sentuhan peribadi daripada pereka-pereka PTPS yang menggabungkan penggunaan tona warna, teknik tenunan, motif reka corak dan tatarias yang pelbagai bagi menjadikan setiap helaian Tenun Pahang Diraja kelihatan unik dan eksklusif.

Kain tenun Pahang dipercayai berasal dari Riau atau Sulawesi dan dibawa masuk ke negeri ini sekitar abad ke-16. Reka corak dan ragam hias tertentu yang halus buatannya menjadi lambang darjat, identiti kaum, kepercayaan, ritual keagamaan dan sebagainya.

Antara koleksi eksklusif terbaharu Tenun Pahang Diraja yang dipamerkan dalam acara “Private Viewing of the Latest Creations Tenun Pahang Diraja”.

Di samping itu, kain tenun Pahang menggunakan teknik ikat dengan corak berjalur, mendatar dan menegak serta sesuai dijadikan kain samping bagi lelaki dan kain sarung bagi perempuan. Antara coraknya termasuklah Seluang Mudik, Corak Beragi, Selumbar Nibong, Tubok Sekampung, Belah Buluh, Corak Tok Muda, Corak Dato’ Mahmud dan Corak Berpetak Tapak Catur.

Tenun Pahang Diraja merupakan khazanah bernilai yang perlu dipelihara dan dijaga agar terus berkekalan hingga generasi akan datang agar tidak lapuk di hujan, tidak lekang di panas.

Kredit Foto: Muhammad Amjad Mohamad Azhar
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.