Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangMelaka – Dalam usaha untuk memartabatkan kesenian Dondang Sayang sebagai satu daripada budaya warisan Melaka pada peringkat yang tertinggi, Institut Warisan Melaka (INSWA) telah menganjurkan program Road Tour Dondang Sayang bersama-sama masyarakat di Singapura, baru-baru ini.
Pengurus Besar INSWA, Drs. Mohd Nasruddin Rahman berkata, jerayawara dan bengkel yang diadakan bersama-sama Jawatankuasa Marsiling Community Club Woodlands, Singapura dan Dian Dancers Production merupakan satu daripada program INSWA menerusi Projek Pemeliharaan dan Pemuliharaan Warisan Dunia UNESCO.
Menurutnya, siri jelajah itu telah bermula sejak tahun lalu membabitkan enam buah lokasi bersama-sama persatuan kebudayaan dan masyarakat, iaitu di Johor, Sabah, Pulau Pinang, Kelantan, Perlis dan Singapura sebagai lokasi terakhir.
“Pemilihan Singapura sebagai lokasi terakhir program jelajah ini berdasarkan sejarah Melayu di Tanah Melayu. Nyanyian Dondang Sayang telah bertapak di Singapura dan telah diperkenalkan oleh masyarakat Baba dan Nyonya di Singapura sejak dahulu lagi.
“Program yang telah dilaksanakan selama tiga hari ini disertai lebih 80 orang peserta dan merupakan jumlah penyertaan di luar jangkaan dan sasaran pihak INSWA. Ini menunjukkan penerimaan yang baik oleh masyarakat Singapura yang ingin mempelajari Dondang Sayang.
“Pada program jelajah ini pihak INSWA telah menjalinkan kerjasama strategik bersama-sama Marsiling Community Club, Woodlands, Singapura dan Dian Dancers Production dan sekali gus menganjurkan bengkel serta persembahan Dondang Sayang,”katanya.
Menurut Drs. Mohd Nasruddin, menerusi siri jelajah dan bengkel itu, INSWA berharap dapat melahirkan pelapis baharu seni Dondang Sayang terutamanya dalam kalangan masyarakat Melayu di Singapura sehingga lahirnya satu rancangan pertandingan realiti Nyanyian Dondang Sayang di stesen televisyen seperti rancangan Geylanggang Dikir 2024 yang merupakan pertandingan dikir barat yang disiarkan di TV Mediacorp.
Pada akhir program, semua peserta menerima sijil penyertaan dan penghargaan yang disampaikan oleh Yang Berhormat Datuk Wira Abdul Razak Abd Rahman, Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Negeri Melaka.