19 November 2024, 16:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Cheras – Sejak kebelakangan ini, pelbagai naratif sejarah palsu atau lebih dikenali sebagai pseudohistory cuba disebarkan oleh kelompok tertentu dalam negara menerusi media sosial sehingga melahirkan golongan pelampau untuk mempertahankannya.

Demikian perkara tersebut dijelaskan oleh Pensyarah Kanan Jabatan Sejarah, Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris, YBrs. Dr. Sahul Hamid Mohamed Maiddin ketika membentangkan kertas kerjanya yang bertajuk “Risiko Ekstremisme Akibat Naratif Sejarah Palsu dan Ancamannya terhadap Keselamatan Negara” dalam program Konvensyen Sunnah Ke-12 di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada Ahad lalu.

Menurut beliau, terdapat pelbagai dakwaan palsu yang disebarkan berkaitan dengan agama khususnya seperti latar belakang Keturah, isteri Nabi Ibrahim a.s. yang ketiga, Nabi Adam a.s. turun di Gunung Jerai, Saidina Uthman r.a. pernah menjejakkan kaki ke negeri Kedah, bangsa Melayu ialah bangsa yang hilang daripada Bani Yahudi serta pedang Rasulullah SAW ditempa daripada besi di Tanah Melayu.

Bahkan, antara contoh sejarah palsu lain yang mempengaruhi masyarakat di negara ini termasuklah wang syiling yang dijumpai daripada Kerajaan Umaiyah di Damsyik, Tun Sri Lanang pengkhianat, penjajah Jepun sebagai pembela umat Islam di Tanah Melayu, perlembagaan negara merupakan hasil tangan penjajah yang perlu ditolak dan nasionalisme dianggap sebagai asabiah.

Sejarah palsu atau lebih dikenali sebagai pseudohistory ialah suatu idea tentang sejarah yang disebarkan kepada masyarakat seolah-olah perkara tersebut merupakan sejarah yang betul dan kebanyakannya bermain dengan emosi.

“Mereka yang menyebarkan sejarah palsu sering memainkan persepsi dan slogan, iaitu sejarah kebesaran bangsa telah disembunyikan dan menjadi tanggungjawab kepada ahli akademik dan pengkaji sejarah untuk mendedahkan kebenarannya tetapi mereka sebenarnya bermain sentimen”, kata beliau.

“Semua orang boleh mambaca sejarah tetapi tidak semua orang boleh menulis sejarah kerana apabila orang bukan sejarawan menulis sejarah, mereka akan menghasilkan buku sastera, fiksyen dan novel dan bukannya buku sejarah”, ujar beliau lagi.

Sebagai contoh, Sulalatus Salatin, Tuhfat al-Nafis dan Hikayat Hang Tuah dianggap sebagai teks sastera yang berkaitan sejarah, ditulis oleh masyarakat atau pembesar ketika itu kerana sumber tersebut bukan kebenaran sejarah mutlak tetapi memerihalkan keadaan masyarakat berfungsi pada zaman tersebut.

Beliau menjelaskan naratif sejarah palsu boleh dikesan melalui kejahilan seseorang terhadap disiplin historiografi (penulisan sejarah), memperlekehkan sarjana arus perdana, tiada sumber yang sahih, dakwaan yang melampau, bersifat sensasi, lambakan maklumat dan menyerahkan beban pembuktian kepada masyarakat.

Apabila sejarah palsu disebarkan kepada masyarakat, orang ramai akan mula meragui institusi yang ada, menggalakkan iredentisme (gerakan menuntut semula tanah) dan nasionalisme yang sempit, membakar kebencian, trauma sejarah yang akhirnya akan membawa kepada ekstremisme.

Ekstremisme tidak akan bergerak secara berseorangan tetapi gerakan tersebut berlaku secara kolektif atau berkumpulan untuk melawan apa-apa yang diperjuangkan.

“Sikap melampau bukan sahaja meruntuhkan sistem yang ada dan mendapatkan kuasa, tetapi gerakan tersebut menggunakan kuasa, dokumen dan mentafsirkan undang-undang untuk menekankan mereka yang tidak berkuasa, masyarakat dan mereka yang tidak sefahaman seperti mana yang kita hadapi pada hari ini”, tegasnya.

Perkara inilah yang merosakkan masyarakat dan melahirkan orang fanatik yang sanggup mendedahkan dirinya untuk dipergunakan, diperbodohkan dan direndahkan akalnya.

Pelampauan boleh membawa kepada tindakan yang tidak melibatkan keganasan seperti hasutan kebencian atau tindakan kegasanan seperti peristiwa pembunuhan anggota keselamatan negara yang berlaku di Balai Polis Ulu Tiram, Johor.

Kredit Foto: Youtube - PROmediaTAJDID
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.