20 November 2024, 12:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – Selepas kali terakhir muncul di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), penyanyi yang mula dikenali dengan lagu Bunga-Bunga Cinta, seterusnya Pulangkan dan Nafas Cahaya, Misha Omar sedang menunaikan doa dan impian para peminat, apabila mengumumkan persembahan solonya bakal diadakan pada hujung tahun ini.

Konsert solo pertama Misha di pentas berprestij IB itu berlangsung tiga tahun lalu. Walau bagaimanapun, untuk yang terbaharu ini, beliau memilih sebuah panggung kecil, yang dijangka akan penuh intim, ketimbang beraksi di pentas konsert megah.

Diberi nama “Misha Omar Back To Basic Showcase” (MOBTBS), penampilan yang sekian lama ditunggu-tunggu ini akan berlangsung pada 21 Disember 2024 di Odeum At Jiospace, Petaling Jaya, bermula pukul 8.30 malam.

Menurut Misha, MOBTBS diadakan dalam skala kecil sebagai apresiasi buat peminat yang tidak pernah berpaling daripada mendukung kerjayanya selama 20 tahun.

Namun demikian, para peminat diharap bersabar kerana MOBTBS sebenarnya akan menjadi “pemanas” kepada sebuah konsert berskala besar yang menjadi impian emas Misha pada masa akan datang.

“Sebagai penghibur yang telah dua dekad berada dalam belantika muzik malah masih mampu kekal relevan, memang saya berimpian mengadakan konsert besar-besaran,” ujar pesohor seni kelahiran Kelantan ini.

“MOBTBS berskala kecil, dan bukan sebuah konsert mega kerana saya suka memulakan sesuatu dengan langkah kecil, sebelum mencatat sejarah yang lebih besar,” jelas beliau.

Bagi Misha, MOBTBS khas buat peminat yang sentiasa bertanya bilakah beliau akan menghiburkan mereka secara langsung?

“Ironinya, saya seorang penyanyi yang tidak mementingkan perlu buat konsert kalau telah lama dalam industri, tetapi lebih memilih melakukan kerja secara berperingkat,” tegasnya.

Siapa tahu, kata Misha, MOBTBS yang berskala kecil, dapat menjadi “pintu” menuju konsert mega pada masa akan datang. Justeru, beliau yang sedang panas dengan lagu Masihkah Ada Rasa Itu mengharapkan doa para peminat.

Konsert berskala kecil anjuran Double M Productions ini akan berlangsung selama 90 minit, dengan iringan pemuzik berprofil tinggi.

Bintang berusia 42 tahun yang menggunakan khidmat Datuk Syafinaz Selamat sebagai pengarah vokal ini meletakkan tanggungjawab pengarahan muzik kepada Ayop Azril, bersama-sama sembilan orang pemuzik di bawah pimpinannya.

Tugas mengarah konsert diberikan kepada Jennifer Thompson yang berpengalaman luas, sementara Simon Khoo menggalas tugas sebagai pengarah teknikal.

“Pada malam yang indah itu nanti, saya hanya mahu “bersenang-senang” dengan para peminat dengan pilihan lagu yang akan mengejutkan. Pemilihan nama MOBTBS juga ada signifikan tersendiri dengan konsep persembahan malam tersebut. Hal tersebut seperti pulang kepada asas,” jelas Misha.

Penyanyi yang pernah membintangi filem GK3 The Movie, arahan Datuk (Dr.) Yusof Haslam (2004) ini akan membawa peminat pulang ke detik-detik seorang Misha Omar baru mula mencatat nama sebagai penyanyi, selepas pertama kali mengikat kontrak dengan syarikat rakaman besar pada tahun 2002.

“Konsert ini menunjukkan bagaimana saya sangat menghargai detik menyanyi di pentas kecil seperti Planet Hollywood dan menyanyikan lagu-lagu kepunyaan penghibur lain yang telah memberi kepercayaan serta inspirasi untuk terus berkarya kepada saya,” kata Misha yang lebih senang merahsiakannya dahulu, tetapi kejutan luar biasa telah disediakan untuk peminat yang mengunjungi Odeum At Jiospace pada 21 Disember depan.

Buat peminat yang telah lama bermimpi melihat Misha Omar kembali ke panggung menghiburkan khalayak dengan lunak merdu vokal dan ciri khasnya sebagai seorang penyanyi, MOBTBS ialah detik yang tidak wajar dilepaskan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.