Diterbitkan pada 20 November 2024, 16:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Warisan Negara (JWN) dengan kerjasama International Information and Networking Centre for Intangible Cultural Heritage in the Asia-Pacific Region under the Auspices of UNESCO (ICHCAP), Korea menganjurkan Persidangan Antarabangsa Warisan Kebudayaan Tidak Ketara 2024 (ICICH 2024) dari 19 November 2024 hingga 22 November 2024.

Menurut JWN, ICICH 2024 ini merupakan kesinambungan daripada persidangan antarabangsa yang telah diadakan pada tahun 2022.

“Persidangan pada kali ini telah mengangkat tema “Kearifan Warisan Tempatan: Ilmu Perubatan Tradisional” yang bertujuan untuk memartabatkan, mempromosi, melindungi dan mendokumentasikan kepelbagaian ilmu tradisi serta kearifan yang terdapat dalam amalan perubatan tradisional,” katanya dalam satu kenyataan.

Ketua Setiausaha MOTAC, YBhg. Datuk Wira Roslan Tan Sri Abdul Rahman mewakili Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya ketika berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Warisan Kebudayaan Tidak Ketara 2024.

JWN berkata, sebanyak 16 buah negara anggota UNESCO dan Asia Pasifik merangkumi 20 ahli panel pembentang terdiri daripada wakil kementerian atau agensi kerajaan, pakar warisan budaya, pengamal atau wakil komuniti, ahli akademik, penyelidik serta penggiat industri telah diundang untuk berkongsi maklumat mengenai praktis perubatan tradisional, cabaran serta langkah perlindungan yang diaplikasikan bagi memastikan ilmu perawatan secara tradisional terus relevan dan dilestarikan.

Katanya, tiga topik utama persidangan diketengahkan, iaitu (i) Perubatan Wanita: Penjagaan Ibu Selepas Bersalin; (ii) Amalan dan Kepercayaan dalam Perubatan Tradisional dan (iii) Perlindungan dan Kelestarian Perubatan Tradisional.

Menurut JWN lagi, inisiatif penganjuran ICICH 2024 ini adalah selari dengan tanggungjawab Malaysia setelah berjaya menduduki kerusi UNESCO Intergovernmental Committee for the Safeguarding of the Intangible Cultural Heritage (IGC ICH) untuk sesi 2022-2026.

Selain itu, persidangan ini juga membuktikan komitmen Malaysia dalam melindungi warisan kebudayaan tidak ketara, sejajar dengan Teras Tiga Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN), iaitu memfokuskan kepada usaha pemeliharaan dan pemuliharaan warisan budaya.

“Melalui persidangan ini, hubungan serta jaringan kerjasama antara Malaysia dengan Negara Anggota Konvensyen 2003 yang lain juga dapat diperkukuhkan terutamanya dalam perihal warisan kebudayaan tidak ketara di peringkat global,” tambahnya.

Katanya, turut berlangsung dalam persidangan ini ialah ICH NGO Session, iaitu program tahunan ICHCAP yang akan mengumpulkan para penggiat atau persatuan dalam bidang warisan tidak ketara untuk berkongsi idea, maklumat dan peluang kerjasama merentasi negara.

Antara pembentang yang terlibat dalam persidangan ICICH yang berlangsung selama empat hari.

Selain itu, tambahnya, aktiviti pameran, demonstrasi, jualan produk, lawatan serta persembahan kebudayaan juga diadakan sebagai sisipan program.

JWN berkata, bersempena dengan program ini juga, satu resolusi berkaitan hala tuju perubatan tradisional pada peringkat global yang disediakan oleh pengamal perubatan tradisional dikemukakan kepada MOTAC pada hari terakhir persidangan.

“Penganjuran ICICH 2024 ini turut dijayakan dengan kerjasama rakan strategik lain, iaitu Jabatan Muzium Malaysia, Bahagian Perubatan Traditional dan Komplementari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara (JKKN), Kraftangan Malaysia, Linton University College, Persatuan Warisan Pekan Pahang Malaysia (WARIS), Persatuan Kebudayaan Han Malaysia serta AVANTE Hotel,” katanya.

Program ini telah dirasmikan oleh Ketua Setiausaha MOTAC, YBhg. Datuk Wira Roslan Tan Sri Abdul Rahman mewakili Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara, Mohamad Muda Bahadin, Ketua Pengarah ICHCAP, Encik Jisung Kim, Naib Canselor Linton University Collage,  Presiden WARIS,  Pengurusan Tertinggi MOTAC; Ahli Majlis Warisan Kebangsaan; Jawatankuasa Pakar Warisan Jabatan Warisan Negara serta wakil agensi.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi