Oleh S. Syazan
21 November 2024, 09:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kampar – Usaha yang dilakukan oleh pengiat teater dan pemilik Larasuka Seni, Ahmed Fazrine Zidane dalam mempromosikan seni teater kepada penduduk tempatan, iaitu di Selama tercapai apabila berjaya menarik 100 orang penonton hadir menonton pementasan teater, baru-baru ini.

Ahmed Fazrine Zidane menjelaskan program ini merupakan permulaan kepada mereka yang ingin bergiat aktif dalam pementasan teater di Selama dan sudah tentu usaha yang dilakukan ini dapat memberi teladan dan tauladan kepada komuniti di sini.

Beliau mahu memberi peluang kepada anak muda untuk mengasah bakat seterusnya akan membuka mata banyak pihak dan dapat membantu melahirkan lebih ramai penggiat teater dalam kalangan remaja.

Selain itu, beliau turut mahu menjadikan teater sebagai tarikan kepada pelancong di kawasan Selama kerana persekitarannya yang hijau, bersih dan penuh dengan flora dan fauna.

Terdahulu, teater Hari-Hari Terakhir Pembunuh Zombie karya Cech Adrea, arahan Ahmad Azri Ahmad Marzuki telah dipentaskan di Dewan Taman Sentosa.

Teater ini merupakan anjuran produksi Larasuka Seni yang pertama kali diadakan untuk menarik minat masyarakat di Selama, Perak.

Antara barisan pelakon utama yang terlibat ialah Ahmed Fazrine Zidane, Marwan Iskandar dan Arina Alya, termasuk pelibatan 28 orang anak muda yang berumur dari lingkungan 16 hingga 26 tahun.

Teater ini mengisahkan tentang dunia yang telah diserang satu wabak misteri yang menyebabkan manusia berubah menjadi liar dan ganas (zombie).

Dalam keadaan dunia yang huru-hara disebabkan serangan zombie ini, masih terdapat dua orang manusia yang mash lagi hidup di kawasan Selama Perak sebagai pembunuh zombie.

Naskhah daripada Cech Adrea ini mahu mengangkat tentang isu kehidupan harian bahawa hidup zombie dan hidup manusia ini kelihatan sama kerana ditakdirkan untuk mengikut satu undang-undang yang telah dicipta.

Naskhah ini juga memberi mesej yang sangat padat mengenai sifat kronisme dalam sesuatu institusi, semangat kenegerian sesuatu negeri dan juga sifat pilih kasih dalam sesuatu pentadbiran.

Pemilihan naskhah ini memberi keselesaan kepada pelakon untuk bermain di ruang pentas kerana karya yang tidak terlalu sarat kepada pelakon dan penonton.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.