Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Alumni Universiti Malaya (UM) yang juga penerbit dan pengarah dokumentari Malaysia, Rosli Mohd Nordin terpilih mewakili negara bagi berkongsi pengalaman penerbitan dokumentari bersempena dengan Festival Filem Dokumentari Antarabangsa “Walk The Doc 2024”.
Menurut Rosli, beliau berkongsi pengalaman sebagai wartawan penyiaran dan penerbit serta pengarah dokumentari yang bertajuk “Wanita Bidayuh Bergelang Tembaga Terakhir”.
“Wanita Bidayuh Bergelang Tembaga Terakhir” merupakan projek tahun akhir bagi pengajian Sarjana Pengajian Media Universiti Malaya (UM). Dokumentari ini pernah mengharumkan nama Malaysia apabila dipilih sebagai pemenang bagi Kategori Audio Visual Program Kreatif Cemerlang-Dokumentari Pendek bersempena dengan Pameran Pertukaran Video Pendek Pelajar-pelajar Negara Asia 2022 anjuran Jilin Animation Institute, Jabatan Informasi Wilayah Jilin dan Persatuan Budaya Antarabangsa Wilayah Jilin, China.
Penerbitan dokumentari amat penting tidak hanya sebagai bahan tontonan sama ada di pelantar konvensional atau media sosial, tetapi mempunyai peranan yang amat besar khususnya dalam aspek dokumentasi dan citra budaya sesebuah negara atau tamadun.
“Terdapat banyak elemen warisan budaya, sejarah dan alam semula jadi yang pupus dan tidak dapat disaksikan lagi. Justeru, penerbitan dokumentari amat penting bagi merakamkan pelbagai subjek yang boleh memberikan impak tersendiri bagi membina tamadun, budaya bangsa dan dalam masa yang sama mampu menjadi rujukan dan dokumentasi pelbagai pihak,” ujar Rosli yang merupakan bekas penerbit dokumentari Syahadah dan program majalah TV, Panorama di Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Rosli yang kini merupakan Ketua Unit Komunikasi dan Pemasaran Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) mempunyai pengalaman amat luas dalam bidang penerbitan dokumentari-penyiaran dan pernah menjadi juri Festival Dokumentari Antarabangsa di Turki pada tahun 2014 dan 2018.
Beliau juga pernah memenangi 16 anugerah kewartawanan dan penerbitan dokumentari di peringkat kebangsaan dan antarabangsa termasuklah Wartawan Penyiaran TV Terbaik Anugerah Seri Angkasa 2006, Wartawan Penyiaran TV Terbaik 2005 dan 2006 anjuran Petronas dan Institut Akhbar Malaysia (MPI), Rencana TV Terbaik 2006 (Petronas & MPI) dan Liputan Dokumentari Terbaik 2017 anjuran EZ Qurban.
Bagi Pengarah Festival Walk The Doc 2024 dan juga pengasas Happy Campers Production, Nurashikin Zaharuddin berharap penggiat dalam penerbitan dokumentari wajar mengambil peluang keemasan ini untuk membina jaringan di peringkat antarabangsa.
Selain sesi forum dan perkongsian pengalaman, festival ini juga menyaksikan penganjuran Master Class, pembentangan projek penerbitan dokumentari dan Pertandingan Short Story, Big Impact yang bertujuan untuk mencungkil bakat muda dalam penerbitan dokumentari.
Walk The Doc diilhamkan daripada projek Walkabout Asia. Objektif penganjurannya adalah bagi menyatukan penerbit dokumentari, aktivis alam sekitar, pengembara dan pencipta kandungan mengangkat isu alam sekitar dan impaknya terhadap pembangunan dunia pada masa depan,” jelas Nurashikin.
Festival Walk The Doc 2024 bermula pada 19 November hingga 21 November 2024, siri kedua sebelum ini dianjurkan di Langkawi, Kedah.
Sementara itu, Ketua Televisyen ABU, Hanizah Hamzah berkata, Kesatuan Penyiaran Asia Pasifik, ABU bekerjasama dengan pihak Walk The Doc 2024 dalam penganjuran festival ini.
“Penganjuran Walk The Doc 2024 kali ketiga ini amat penting bagi memberikan sinergi baharu dalam penerbitan dokumentari dan membina jaringan kerjasama antara ahli sama ada penyiar dalam dan luar negara (organisasi TV dan radio kerajaan atau swasta) dan syarikat penerbitan menerbitkan dokumentari yang berkualiti.
Festival ini bukan sahaja menggalakkan lebih banyak penerbitan dokumentari, malah pengisian penting seperti tayangan dokumentari terpilih, pertukaran ilmu dan pengalaman, pertukaran bahan penerbitan dan pemasaran dokumentari serta menampilkan pakar dalam penerbitan dokumentari dalam dan luar negara,” jelas Hanizah.