Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Menteri Komunikasi, YB Fahmi Fadzil malam tadi merasmikan Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) bertemakan “EMAS – Evolusi Sinema Malaysia” yang bakal mengangkat bakat tempatan serta pencapaian filem Malaysia pada peringkat antarabangsa.
Menerusi ucapan perasmiannya, YB Fahmi Fadzil menegaskan bahawa kerajaan sentiasa menyokong pembangunan industri kreatif dan budaya sebagai satu daripada sektor ekonomi negara yang berimpak tinggi.
“Sokongan padu kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi dan FINAS dalam penganjuran FFM edisi ke-33 tahun ini ialah bukti kepentingan festival filem tersebut sebagai pengiktirafan pada peringkat nasional dalam meraikan kecemerlangan filem, produksi dan bakat bakat industri yang berkualiti tinggi,” ujar beliau.
Selain itu, jelas beliau, “Tema Evolusi Sinema Malaysia atau pun EMAS merupakan tafsiran nilai ekonomi kreatif dan budaya berimpak tinggi bagi filem-filem beridentiti Malaysia yang terkenal dengan kekuatan nilai bahasa, budaya, cerita bangsa dan landskapnya.”
Beliau juga berharap agar FFM33 dapat membakar semangat karyawan seni untuk terus berkarya, selain mencari dan memberikan inspirasi dalam menghasilkan filem-filem kebanggaan bersama.
Sebanyak 104 penyertaan telah diterima dengan 95 pencalonan layak bertanding, merangkumi 64 filem cereka, 20 filem pendek dan 11 filem dokumentari.
Pemenang 27 kategori bakal menerima wang tunai RM5000 dan trofi manakala penerima Anugerah Khas bakal menerima RM10,000 dan trofi.
Pemenang Anugerah Filem Terbaik pula bakal menerima insentif Dana Kandungan Kreatif (DKK) bernilai RM500,000.
Selain itu, kerjasama dengan Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) akan menampilkan program Intuisi Emas di Datum Jelatek, antaranya termasuklah Forum “Orang Muda dalam Perjuangan” pada 23 November 2024 dengan pengarah muda prolifik dan Forum “Lihatlah Dunia, Trofi FFM Merubah Hidupku” pada 24 November 2024 bersama-sama pemenang FFM terdahulu.
Malam Anugerah FFM33 bakal berlangsung pada 7 Disember 2024, pada pukul 9.00 malam di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media dan turut disiarkan secara langsung di TV2 RTM serta YouTube FINAS.
Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi), Kementerian Komunikasi, YBrs. Encik Mano Verabathran; Pengerusi FINAS, YBhg. Dato’ Kamil Othman dan Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman.