Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Melaka (JKKNM) menerusi Persatuan Gerakan Anak Seni (PGAS), dan CTRA Production (CTRA) akan mementaskan sebuah teater berbentuk purbawara muzikal, berjudul Sulalat ‘Us Salatin: Kemaharajaan Maritim Selat Melaka (SUSKMSM) pada 20, 21 dan 22 Disember depan.
Pementasan hasil kolaborasi PGAS, CTRA, dan JKKNM dengan sokongan Inisiatif Belanjawan 2024 oleh GAPENA, dan DBP sebagai antara bentuk pementasan naskhah karya agung ini akan disaksikan di Auditorium Panggung Seri, JKKNM, Ayer Keroh, Melaka pukul 8.30 malam (20, 21 dan 22 Disember 2024), dan persembahan matinee pukul 3 petang (21 dan 22 Disember 2024).
Sulalat ‘Us Salatin telah diiktiraf sebagai Warisan Dunia UNESCO pada tahun 2012, serta mencecah 32 salinan di seluruh dunia.
Pada 20 November lalu pukul 2.30 petang, JKKN menganjurkan majlis sidang media SUSKM anjuran JKKN, di Sanggar Tun Sri Lanang, Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
SUSKMSM berkisar kisah kemaharajaan maritim yang juga disebut sebagai pertuturan segala raja atau Sejarah Melayu. Teater muzikal ini menyentuh asal usul kemaharajaan maritim yang bermula dari transisi masa Raja Iskandar Zulkarnain, dan Puteri Syah al-Bariyah, Raja Suran yang mengembara ke alam lautan, kisah Kuda Semberani, Wan Empuk dan Wan Malini berpadikan huma yang berbuah emas, Waadat Demang Lebar Daun dan Seri Teri Buana, kisah Tun Jana Khatib di Temasek, kebijaksanaan Hang Nadim sehingga Singapura dilanggar todak, kisah merajuknya Sang Rajuna Tapa, Melaka zaman gemilang, hinggalah runtuhnya empayar Melaka.
Selepas ucapan YBrs. Puan Siti Rohaya Attan dari CTRA selaku pengarah merangkap penulis skrip purbawara berkenaan, dan YBrs. Encik Rosnan Nordin, Timbalan Ketua Pengarah, Sektor Kebudayaan dan Kesenian, JKKN; ditampilkan persembahan fragmen SUSKMSM, pengumuman rasmi artis dan tenaga produksi yang terlibat, perasmian poster, sesi fotografi, dan soal jawab media.
Antara lain dalam ucapan alu-aluannya, Siti Rohaya menjelaskan betapa muzikal usaha beliau dan rakan-rakan ini sebagai satu daripada wadah mengangkat martabat, serta kehebatan Melayu di bawah kedaulatan raja-raja mereka.
Mengenai pemilihan pelakon-pelakon terkenal seperti Adam Lee, Norish Karman, dan Rosli Rahman Adam, beliau mengharapkan hal tersebut tidak dipandang serong. Di samping bakat besar Adam, serta pengalaman luas Norish dan Rosli, mereka juga dipilih kerana ada daya penarik penonton.
Sementara itu, dalam ucapannya, Encik Rosnan menegaskan JKKN sentiasa menggalakkan pementasan karya seni budaya setiap negeri di Malaysia.
Rosnan yang akan bersara wajib pada Mac 2025 nanti, memberitahu beliau akan terus berbakti, demi kemajuan seni budaya negara.
Perasmian poster SUSKMSM disempurnakan oleh YBrs. Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP. Soal jawab media dijayakan oleh Siti Rohaya, Rosnan, Adam, Norish, dan YBrs. Cik Puan Ezlina Alias, Pengarah JKKNM.
Turut hadir ialah YBhg. Datuk Zainal Abidin Borhan, Presiden GAPENA; YBrs. Encik Mohd. Raizuli Mat Jusoh, Pengarah Bahagian Pengembangan Seni Budaya JKKN; Puan Siti Jasmina Ibrahim, penulis skrip muzikal terbitan JKKNM ini, penulis lirik lagu-lagu SUSKMSM, Encik Siso Kopratasa, dan para pelakon.
Muzikal SUSKMSM turut dijayakan oleh A. Aris Kadir, Zera Hariz, Serra Kamal, Fahezul Azri dan Faysal Saad.