25 November 2024, 11:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pameran Batu Jed: Jejak Beribu Tahun Menuju Kemakmuran yang Abadi di Balai Seni Negara dari 23 November 2024 hingga 23 Disember 2024 memberikan peluang kepada para pengunjung untuk menelusuri sejarah seni jed purba.

Balai Seni Negara berkata pameran ini dibawakan oleh Pertubuhan Kebudayaan Cina Malaysia bersempena dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dengan China.

“Pameran ini menampilkan lebih daripada 100 ukiran jed, setiap satu merupakan khazanah yang bernilai, dipilih melalui proses tapisan yang teliti dari rumah lelong seperti Christie’s, Sotheby’s, dan Bonhams,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, katanya, pameran ini juga turut mempamerkan koleksi terkenal seperti Robert Hatfield Ellsworth dan Roger Keverne.

Ketua Setiausaha MOTAC, YBhg. Datuk Wira Roslan Tan Sri Abdul Rahman ketika berucap merasmikan Pameran Batu Jed: Jejak Beribu Tahun Menuju Kemakmuran yang Abadi di Balai Seni Negara.

Tambahnya, batu jed yang dipamerkan bermula dari zaman prasejarah hingga dinasti Ming dan Qing. Setiap artifak jed bukan sahaja mempamerkan kehalusan seni, tetapi juga nilai budaya dan estetika yang berterusan selama beribu tahun.

Di samping itu, jelasnya, inisiatif “Belt and Road” yang kini menjadi platform utama pertukaran budaya antarabangsa juga dikenali sebagai “Jalan Jed dan Sutera,” yang menghubungkan budaya jed dengan semangat perpaduan dan kerjasama global, menyatukan negara-negara melalui warisan budaya.

“Selama ribuan tahun, jed telah dipenuhi dengan pelbagai makna budaya yang mendalam dan dalam tradisi China, jed diangkat sebagai simbol kebajikan, sering digunakan dalam upacara keagamaan, ritual diraja, dan juga sebagai alat dalam pertukaran diplomatik,” katanya.

Tambahnya, artifak-artifak jed yang bersejarah kini dipamerkan di muzium-muzium terkemuka di seluruh dunia, memberikan peluang kepada generasi kini untuk menghayati serta menghargai ketabahan, kepintaran, dan kepentingan budaya yang terkandung dalam warisan jed purba.

Balai Seni Negara berkata, sebagai negara ASEAN pertama yang menjalinkan hubungan diplomatik dengan China, Malaysia telah memainkan peranan penting sebagai jambatan budaya serta memperkukuh hubungan budaya dan sejarah antara kedua-dua negara.

Pameran ini turut merayakan keakraban hubungan Malaysia-China dengan menggabungkan warisan budaya, memupuk penghormatan mendalam terhadap seni tradisional, serta menggambarkan keindahan dan keharmonian dalam pertukaran budaya yang telah terjalin.

Ketua Setiausaha MOTAC, YBhg. Datuk Wira Roslan Tan Sri Abdul Rahman turut mengambil peluang mengunjungi pameran.

“Pameran ini menawarkan pengalaman seni yang unik, menampilkan artifak yang jarang ditemui dan memukau sementara dari sudut teknik ukiran hingga simbolisme budaya, setiap artifak jed merupakan bukti kepintaran dan kehalusan seni yang luar biasa,” katanya,

Pengunjung juga dapat menyaksikan kesinambungan gaya seni jed yang dipengaruhi oleh pemikiran budaya dari pelbagai era sejarah.

Balai Seni Negara mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Pertubuhan Kebudayaan Cina Malaysia kerana telah membina sebuah galeri seni baharu di Balai Seni Negara, menjadikannya galeri yang ke-8 serta memberikan lambang kepada sejarah 50 tahun hubungan diplomatik ini.

Pameran telah dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), YBhg. Datuk Wira Roslan Tan Sri Abdul Rahman.

Turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN), YBrs. Encik Shaik Rizal Sulaiman, Ketua Pengarah Balai Seni Negara, YBrs. Encik Amerrudin Ahmad, Kurator dan Penasihat Pertubuhan Kebudayaan Cina Malaysia, YBhg. Dato’ Wong Shung Yen, Kurator, YBrs. Dr. Low Cheong Sin, pegawai-pegawai kanan MOTAC, jabatan dan agensi serta para penggiat seni.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.