1 Disember 2024, 12:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kehadiran Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar untuk menyaksikan pementasan teater Sirih Bertepuk Pinang Menari mencuri tumpuan para penonton di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), pada malam semalam.

Kehadiran beliau dan juga Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), YBhg. Dato’ Shaharuddin Abu Sohot membuktikan sokongan berterusan oleh pihak kerajaan kepada aktiviti kesenian dan kebudayaan negara.

Ketua Pengarah Jabatan Kebubayaan dan Kesenian (JKKN), YBrs. Encik Mohd Amran Mohd Haris dalam suatu kenyataannya memaklumkan bahawa pihaknya akan terus memberikan dukungan kepada penggiat seni terutamanya untuk mengangkat naskhah agung melalui platform seni dan budaya.

Pihak JKKN juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri yang telah meluluskan dana menerusi Belanjawan 2024 untuk pementasan karya seni dan sastera negara di JKKN seluruh negara.

Pementasan karya agung akan memberikan peluang kepada JKKN dan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) seni budaya untuk mengetengahkan karya seni negara, mempergiat persembahan teater warisan serta memupuk minat membaca karya agung dalam kalangan generasi muda,

Pementasan teater tersebut yang berlangsung lebih dua jam turut dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP, YBrs. Encik Zulfa Hamzah.

Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim (tengah) ketika menerima cenderamata yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) MOTAC, YBhg. Dato’ Shaharuddin Abu Sohot (kanan).

Pementasan teater Sirih Bertepuk Pinang Menari karya Sasterawan Negara Datuk Noordin Hassan dan arahan Dr. Marlenny Deenerwan merupakan anjuran MOTAC menerusi JKKN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bersama-sama Pertubuhan Rumpun Seni Mekar Budaya dengan kerjasama DBP.

Selain itu, penganjuran pementasan berkenaan adalah di bawah Siri Karya Seni dan Sastera Negara 2024 yang diselaraskan oleh JKKN melibatkan pementasan teater dan persembahan bersifat karya agung pada peringkat negeri dengan matlamat untuk memartabatkan seni, budaya, bahasa dan sastera kebangsaan.

Sirih Bertepuk Pinang Menari mengisahkan tentang Sultan Idris Bistari belayar ke luar negeri dan menyerahkan kuasa pemerintahan Indera Mahkota kepada anakandanya, Putera Zahiruddin Shah yang telah merancang untuk meminang Puteri Kamaliah, anak Ratu Salbiah tetapi ditolak peminangan tersebut serta perlu menghadiahkan sirih bertepuk pinang menari kepada baginda.

YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika menyantuni para pelakon teater Sirih Bertepuk Pinang Menari.

Pementasan teater tersebut berlangsung selama tiga hari bermula pada 29 November hingga malam ini dan dibarisi sebanyak 22 orang pelakon yang terdiri daripada Dato’ Ahmad Tamimi Siregar, Jay Iswazir, Akmal Ahmad, Farhana Fahizam, Eliza Mustafa, Azman Hassan, Haf Dzi Sofi, Shasha Fairus dan lain-lain.

Satu daripada babak pementasan teater Sirih Bertepuk Pinang Menari.
Kredit Foto: Khairul Azhar dan Farid Janudin
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.