1 Disember 2024, 12:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pattani – Pementasan teater eksperimental bertajuk Raja Kubang Labu (RKL) telah berlangsung dengan jayanya di Universiti Prince of Songkla (PSU), Kampus Pattani, Thailand, baru-baru ini.

Dengan kekuatan tenaga produksi seramai 31 orang, Pertubuhan Seni Rupa Jiwa buat julung kalinya membawa sebuah karya yang kaya dengan elemen budaya dan warisan Melayu ke pentas antarabangsa.

Teater ini mengangkat cerita rakyat klasik Raja Kubang Labu yang telah diolah secara eksperimental untuk menarik perhatian generasi baharu.

Pengarah teater, Encik Nik Mohd Azhan Nik Ismail, menyatakan bahawa persembahan di PSU adalah persembahan kali kedua selepas dipertontonkan di Universiti Sains Malaysia (Kampus Kesihatan) pada tahun 2023.

Elemen inovasi dan percubaan unsur-unsur baharu, baik dari segi penceritaan, bentuk persembahan, teknik pentas disuntik dengan pendekatan moden bagi mencipta pengalaman yang unik.

“Kami mahu menarik minat penonton, khususnya generasi muda, dalam menyelami dan menghayati isu-isu kontemporari yang disisipkan dalam naratif,” kata beliau dalam satu temubual bersama media.

Pementasan Raja Kubang Labu bukan sekadar hiburan, tetapi sebuah platform untuk mengangkat seni dan budaya Melayu ke persada antarabangsa.

Melalui teater ini dapat dibuktikan bahawa seni tradisional, apabila digabungkan dengan elemen moden, mampu kekal relevan dan dihargai oleh masyarakat global. .

Terdahulu, pementasan ini dianjurkan oleh Pertubuhan Seni Rupa Jiwa dengan kerjasama institusi tersebut, bersempena ulang tahun ke-50 Fakulti Kemanusiaan dan Sains Sosial, PSU.

Pementasan itu dihadiri oleh Yang Berbahagia Puan Patimoh Sadeeyamu, Gabenor Wilayah Pattani dan Yang Berbahagia Tuan Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi, Konsul Jeneral Malaysia di Songkla, Thailand.

Turut memeriahkan acara ini adalah barisan tetamu kehormat, termasuk Wakil Kerabat Istana Jambu-Pattani, Pengerusi Dunia Melayu Dunia Islam-Thailand, Ketua Program Pengajian Bahasa dan Pengajian Melayu PSU serta Dekan Fakulti Kemanusiaan dan Sains Sosial PSU.

Kehadiran mereka pastinya menyerlahkan sokongan padu terhadap usaha memartabatkan seni dan budaya Melayu di peringkat antarabangsa, khususnya di negara Thailand.

Sorotan pementasan ini turut mendapat liputan meluas daripada pempengaruh tempatan Thailand, khususnya di wilayah selatan Thailand.

Pementasan ini berjaya menarik lebih 300 penonton, termasuk pelajar universiti, ahli akademik, dan masyarakat setempat.

Rata-rata penonton menyifatkan betapa pementasan ini berjaya memupuk persefahaman budaya Melayu antara masyarakat di Malaysia dan Thailand.

Mereka juga memuji lakonan para pelakon yang dianggap “berjiwa”, reka bentuk pentas yang kreatif serta sinografi yang berani dan unik.

Penonton juga turut memuji keberanian produksi ini dalam mempersembahkan isu-isu moden seperti konflik kuasa, pengkhianatan, dan keadilan sosial yang diselitkan melalui teater ini.

“Pementasan ini bukan sahaja sebuah persembahan seni, tetapi juga medium dialog budaya yang memberi impak mendalam”, ujar mereka.

Seorang pelajar tempatan, yang ditemui selepas pementasan, meluahkan kekaguman terhadap pesembahan teater Melayu yang digarap dalam acuan eksperimental. “Saya tidak pernah menyangka cerita rakyat boleh dipersembahkan sebegini menarik,” katanya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.