1 Disember 2024, 23:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kayang – Program Nostalgia Anak Kampung: Dunia Anak Bendang anjuran Jabatan Muzium Malaysia (JMM) menerusi Muzium Negara dan Muzium Kota Kayang  dari 15 hingga 17 November 2024 menggamit memori kehidupan masyarakat kampung yang tinggal di kawasan bendang.

JMM berkata, program ini juga bertujuan memperkukuhkan ikatan silaturahim dan memupuk rasa cinta terhadap warisan budaya tradisional kampung dalam kalangan generasi muda dan dewasa.

“Program ini diangkat sebagai satu lagi inisiatif untuk menyemarakkan aktiviti pelancongan dan kebudayaan di samping mendidik masyarakat tentang nilai budaya, identiti dan jati diri kepada generasi muda agar ia tidak terus terhakis dek arus pemodenan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut JMM, program Nostalgia Anak Kampung merupakan salah satu program utama Jabatan Muzium Malaysia yang diadakan setiap tahun di Muzium Negara yang berkonsepkan menghidupkan kembali suasana dan aktiviti permainan tradisional yang semakin dilupakan oleh generasi muda.

Selain itu, katanya, program Bermalam Di Muzium Belia turut diadakan bersekali dengan program ini di Muzium Kota Kayang.

Menurut JMM, program Bermalam Di Muzium Belia merupakan program julung kali diadakan dengan penyertaan dibuka kepada belia.

Tambahnya, program Bermalam Di Muzium merupakan program yang saban tahun diadakan melibatkan pelajar sekolah Sahaja yang merupakan satu inisiatif menggunakan pendekatan serampang dua mata dengan melibatkan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) sebagai rakan kerjasama dalam menjayakan program ini.

“Pelbagai aktiviti mengikut kluster seperti Zon Pameran / Jualan dan Perkhidmatan, Zon Aktiviti Pentas, Zon Aktiviti Bendang dan Zon Keluarga, Pertandingan Busana Anak Kampung Cilik, Mewarna Indahnya Kampung, Gubahan Sirih Junjung. Pocket Talk: Kampung Boy Bersama Datuk Lat, Persembahan Silap Mata, Persembahan Wayang Kulit 6 Bersaudara, Kebudayaan Pelbagaqi Kaum, Pertandingan Cabaran Gerek Bendang, Bola Sepak Bendang, Fun Walk Anak Kampung, Pameran dan Jualan Ikan Laga, Seni Suara dan Gaya Burung Merbah Jambul & Murai Kampung, Menumbuk & Menampi Padi, Jualan Rahmah, Jualan Produk Orang Kampung dan Petting Zoo telah dirangka dalam memeriahkan program ini,” jelasnya.

Katanya, selain daripada aktiviti dan jualan tersebut, pameran muzium dan agensi juga turut diadakan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, YB Dato’ Rahimi bin Ismail telah menyempurnakan Majlis Perasmian Program Nostalgia Anak Kampung: Dunia Anak Bendang dan Penutupan Bermalam Di Muzium Belia tersebut.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.